Rabu, 24 Jun 2020 | 4:27pm
Peniaga Mohd Halimin Daud menyediakan roti canai dan murtabak di Felda Chini 5. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Peniaga Mohd Halimin Daud menyediakan roti canai dan murtabak di Felda Chini 5. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

PRK DUN Chini: Roti canai, murtabak laris

PEKAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini seolah-olah memberi rezeki berganda kepada peniaga roti canai dan murtabak di kawasan berkenaan apabila jualan meningkat sekali ganda.

Peniaga gerai makan di Felda Chini 5, Khaziah Mohd Yunos, 52, berkata sebelum ini, dia hanya menyediakan kira-kira 12 kilogram (kg) tepung gandum bagi menghasilkan 200 keping roti canai setiap hari.

Namun sejak Isnin lalu dia perlu menyediakan 18 hingga 20kg tepung gandum bagi menghasilkan 400 keping roti canai.

"Pada musim PRK kali ini dapatlah untung lebih sikit berbanding hari biasa, sebelum ini saya mampu menjual 200 keping kini bertambah 100 peratus (400 roti canai), manakala murtabak pula daripada 20 kepada 60 keping sehari.

"Alhamdulillah inilah rezeki yang dinikmati pada PRK kali ini, sebelum ini saya terpaksa berehat lebih tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain roti canai dan murtabak dia turut menyediakan pelbagai hidangan lain seperti nasi lemak, soto, nasi dagang dan mi goreng.

Khaziah yang berniaga sejak lapan tahun lalu berkata, sudah menjadi kebiasaan jualan makanan laris apabila berlakunya pilihan raya di kawasan luar bandar dan kali ini giliran peniaga di Felda Chini.

Katanya, peluang itu perlu digunakan sepenuhnya oleh golongan peniaga untuk menambah pendapatan, namun itu tidak bermakna mereka bertindak mengambil kesempatan dengan cara salah seperti menaikan harga.

"Sebelum ini saya berniaga di Bandar Dara, Chini namun kini kedai terletak bersebelahan dengan rumah sahaja.

"Di mana juga lokasi perniagaan pelanggan tetap ramai, hari ini calon Barisan Nasional (BN) dan pengikutnya turut datang ke gerai saya sambil menikmati makanan," katanya yang dibantu suami Mohd Halimin Daud, 52.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, purata pendapatan yang diraih setiap hari sejak kempen PRK dianggarkan sekitar RM800 berbanding hanya RM500 sebelum ini.

Berita Harian X