Jumaat, 19 Jun 2020 | 10:06am
Kedai Nasi Kandar RM1 milik Sheik Faizal Mohd Ismail yang terletak di Taman Patani Jaya, di sini. NSTP/NOR FARHANI CHE AD
Kedai Nasi Kandar RM1 milik Sheik Faizal Mohd Ismail yang terletak di Taman Patani Jaya, di sini. NSTP/NOR FARHANI CHE AD

Nasi Kandar serendah RM1

SUNGAI PETANI: Semua orang mampu menikmati nasi kandar, itu konsep dibawa seorang peniaga di sini apabila menawarkan pelbagai jenis lauk nasi kandar pada harga serendah RM1.

Sheik Faizal Mohd Ismail, 43, berkata, beliau memulakan perniagaan menjual nasi kandar pada awal Mac lalu, selepas terpaksa berpindah dari kedai lamanya di George Town, Pulau Pinang, berikutan lokasi itu dinaik taraf.

Katanya, idea menawarkan pilihan jenis lauk pada harga hanya RM1 timbul apabila melihat pelanggan yang datang ke kedai makannya di Taman Patani Jaya, terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Ketika awal pembukaan kedai, saya jual makanan pada harga biasa, namun ramai pelanggan yang datang kebanyakannya adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Jadi timbul idea menawarkan setiap jenis lauk pada harga serendah RM1 supaya mereka dapat menikmati lebih banyak lauk dengan harga berpatutan," katanya ketika ditemui di kedainya.

Sheik Faizal berkata, antara lauk yang ditawarkan pada harga RM1 adalah aneka masakan ayam selain daging masak hitam dan pelbagai jenis sayur-sayuran.

"Saiz lauk RM1 yang ditawarkan tidaklah seperti hidangan yang dijual pada harga biasa, tetapi pelanggan tetap berpuas hati terutama yang memiliki bajet terhad.

"Pada masa sama, kami masih menjual lauk pada saiz hidangan biasa bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memiliki bajet lebih," kata bapa kepada dua anak itu.

Selain makanan, kedai itu turut menjual pelbagai jenis air minuman panas dan sejuk terpilih pada harga RM1.

"Cara jualan ini memang tidak memberi keuntungan besar kepada saya, namun anggaplah ini sedekah kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Berita Harian X