Jumaat, 12 Jun 2020 | 4:41pm
ANGGOTA polis memantau penumpang feri ke Langkawi supaya mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA polis memantau penumpang feri ke Langkawi supaya mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Penumpang, kru feri patuh SOP

ALOR SETAR: Penumpang feri Kuala Kedah ke Langkawi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan memeriksa suhu badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata hasil pemantauan anggotanya termasuk dalam feri juga mendapati penumpang turut melakukan penjarakan sosial ketika dalam feri.

Beliau berkata, pematuhan SOP itu penting bagi memutuskan rantaian COVID-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang.

"Penumpang dan kru feri digalakkan memakai pelitup mulut dan hidung kerana kita tidak tahu siapa yang mungkin ada membawa virus," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, penumpang feri, Mohd Haizal Haziman Hasbullah, 26, berkata, dia bersama keluarga ke Langkawi untuk melangsungkan pernikahannya dengan gadis pilihan, Maisarah Mohd Ridzuan, 26.

"Sebelum ini, kami terpaksa menukar tarikh akad nikah kerana saya sebagai anggota tentera yang perlu bertugas," katanya.

Ketua Operasi Ferry Line Ventures Kuala Kedah, Mohd Azizan Aziz, berkata ada dua perjalanan hari ini iaitu jam 11 pagi dan 4 petang.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua penumpang mematuhi SOP seperti melakukan penjarakan sosial, mengisi borang dan melakukan pemeriksaan suhu badan serta membersih tangan dengan cecair pembasmi kuman, sebelum dibenarkan menaiki feri.

Berita Harian X