Rabu, 10 Jun 2020 | 5:22pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 57 pusat kuarantin di Johor ditutup

JOHOR BAHRU: Semua 57 stesen kuarantin yang diwartakan di seluruh negeri ini sudah ditutup mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata semua individu dalam pemantauan (PUS) membabitkan warga tempatan dan bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia menerusi negeri ini dan masih berada di pusat kuarantin namun disahkan negatif COVID-19 akan diarahkan menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing.

Katanya, ia termasuk penduduk tetap, ahli Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), diplomat serta pekerja warga asing.

"Sekiranya individu berstatus PUS ingin meneruskan kuarantin di hotel, kos kuarantin akan ditanggung sepenuhnya oleh individu terbabit.

"Semua individu yang berstatus PUS turut dikehendaki memuat naik dan mendaftar di aplikasi MySejahtera dan wajib dikuarantin di alamat yang didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan seperti mana yang dinyatakan dalam MySejahtera, termasuk di rumah sewa atau hotel pilihan sendiri, dengan kos kuarantin ditanggung sepenuhnya oleh individu itu.

"Berikutan tiada lagi pusat kuarantin yang akan disediakan oleh kerajaan, maka semua PUS sama ada warganegara atau bukan warganegara yang sedang menjalani kuarantin di hotel atau Institut Latihan Awam (ILA) juga wajib didaftarkan menerusi aplikasi MySejahtera, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai rakyat Malaysia bekerja di Singapura dibenarkan berulang-alik seperti diumumkan kerajaan Persekutuan, Vidyananthan berkata, tatacara serta prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat kerajaan kedua-dua negara terutama membabitkan ujian COVID-19.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berpendapat beberapa perkara wajib terutama ujian saringan COVID-19 perlu diperhalusi dan arahan ini terpakai untuk semua warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

"Ini termasuk ujian saringan COVID-19 yang menunjukkan keputusan negatif mestilah disediakan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hari kepada warga Malaysia yang mahu berulang-alik.

"Sekiranya tiada keputusan ujian saringan dikepilkan bersama, warga Malaysia itu akan diarahkan menjalani dikuarantin di rumah sebagaimana SOP Pintu Masuk Antarabangsa yang biasa.

"Saringan suhu kekal dijalankan oleh pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Pertahanan Awam (APM) di Pintu Masuk Antarabangsa apabila kelulusan diterima," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X