Selasa, 9 Jun 2020 | 12:38pm
Gambar hiasan. Empangan bekalan air masyarakat yang digunakan oleh penduduk di sembilan kampung dalam Mukim Kupang. FOTO/Arkib NSTP
Gambar hiasan. Empangan bekalan air masyarakat yang digunakan oleh penduduk di sembilan kampung dalam Mukim Kupang. FOTO/Arkib NSTP

Pantau projek, elak sumber air tercemar

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan melakukan pemantauan bagi memastikan pengusaha projek tanaman Musang King dan pembalakan di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas membuat perangkap lumpur bagi menghalang pencemaran sumber air penduduk di Mukim Kupang, Baling.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata sekiranya pihak terbabit gagal mematuhi kaedah yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), tindakan sewajarnya mesti diambil supaya sumber air penduduk terus terpelihara.

"Saya ada menerima surat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Bayu, Abd Nasir Idris, mengenai aduan masalah berkenaan, pihak saya akan tengok kenapa air di situ keruh apabila hujan.

"Sebab JPNK sudah tetapkan, pihak terbabit perlu bina perangkap selut iaitu dengan membina peparitan dan lubang besar, apabila hujan, air yang membawa selut akan masuk ke dalam parit dahulu seterusnya mendap di dalam lubang sebelum air yang jernih dilepaskan ke sungai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Secara Online Bagi Projek Marris dan Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi, berkata pihaknya akan melihat perkara itu secara serius berikutan masalah berkenaan sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Semalam, media melaporkan lebih 750 keluarga di sembilan kampung dalam Mukim Kupang berhadapan masalah air tercemar yang dipercayai berpunca daripada projek Musang King dan pengambilan kayu balak di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas.

Antara kampung yang terbabit dengan pencemaran itu termasuklah Kampung Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat (BAM) Kampung Iboi, Malik Arshad, 50, berkata penduduk bergantung dengan bekalan air masyarakat untuk kegunaan harian seperti minum, memasak dan mencuci pakaian.

Katanya, setiap kali hujan, air sungai akan tercemar teruk dan keruh serta berselut menyebabkan penduduk terputus bekalan air bersih.

Malah, tahun lalu turut dilaporkan berlakunya banjir kilat sehingga rumah penduduk dipenuhi air lumpur dan kotor.

Berita Harian X