Isnin, 8 Jun 2020 | 1:00pm

Pemilik kedai gunting rambut lega

KUCHING: Pemilik kedai gunting rambut lega dengan keputusan kerajaan membenarkan sub sektor itu dibuka semula selepas ditutup sejak 18 Mac lalu.

Abdul Hamid Ahmad, 63, berkata pengumuman kerajaan yang membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula amat dinantikan selepas mereka tidak bekerja selama hampir tiga bulan.

Abdul Hamid berkata, beliau bersedia mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelanggan.

"Alhamdulillah....terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula.

"Sudah terlalu lama perniagaan ditutup malah ramai yang bertanya, bila kedai hendak dibuka," katanya.

Ketika ditemui di kedainya, Ahmad Lazim Tukang Gunting Rambut di Jalan Gambier, di pusat bandar raya ini, Abdul Hamid sedang membersihkan peralatan menggunting rambut.

Kedai berkenaan yang diwarisi daripada bapanya, menjadi tumpuan ramai kerana lokasinya yang strategik selain masih menggunakan peralatan tradisional seperti 'gunting ketam'.

Kedai berkenaan mengenakan bayaran RM11 untuk orang dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak.

Khamis lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan keputusan membenarkan kedai gunting rambut dan salun rambut beroperasi mulai esok.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata bagaimanapun kebenaran itu hanya untuk menggunting rambut sahaja dengan SOP yang ketat perlu dipatuhi.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengumumkan keputusan Kerajaan Pusat membenarkan perkhidmatan gunting rambut, dan kecantikan dan yang berkaitan dengannya bermula Rabu ini.

Aktiviti dibenarkan ialah gunting rambut, cuci rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, rawatan dan penjagaan kuku tangan serta kaki, serta mencuci muka.

Pemilik kedai gunting diwajibkan menggunakan apron pakai buang untuk setiap pelanggan dan tukang gunting juga perlu menggunakan penghadang muka serta sarung tangan ketika menggunting rambut.

Bagi yang berisiko tinggi seperti berusia 60 tahun ke atas, proses gunting adalah secara temujanji dan hadir sendiri tanpa ditemani sesiapa.

Berita Harian X