Isnin, 8 Jun 2020 | 10:34am
Pasukan bomba ketika membawa keluar buaya sepanjang 1.8 meter dari reban ayam milik seorang lelaki di Kampung Iran, pagi tadi.
Pasukan bomba ketika membawa keluar buaya sepanjang 1.8 meter dari reban ayam milik seorang lelaki di Kampung Iran, pagi tadi.

Buaya jengah reban ayam ketika banjir

MIRI : Penduduk Kampung Iran, di Batu Niah, di sini, gempar selepas seekor anak buaya ditemui di dalam reban ayam milik salah seorang penduduk, pagi tadi.

Reptilia itu dipercayai memasuki reban berkenaan ketika banjir melanda kampung itu sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Ketika anggota bomba tiba, kampung berkenaan masih digenangi air banjir yang berlaku selepas hujan lebat kelmarin.

"Anggota kami yang dibawa ke reban ayam itu mendapati seekor anak buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter berada di dalamnya," katanya.

Beliau berkata, anggota kemudiannya berjaya menangkap reptilia itu menggunakan penjerut dan membawanya balik ke balai untuk tindakan lanjut.

Mengenai BBP Batu Niah, Ling Hii berkata, balai berkenaan adalah yang terbaharu di Sarawak dan mulan beroperasi pada 1 Jun lalu.

Berita Harian X