Jumaat, 5 Jun 2020 | 10:16pm
Youtuber Masakan, S Pavithra, (kiri) bersama suaminya M Sugu, teruja selepas melihat video Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di seluruh negara hari ini. - Foto BERNAMA
Youtuber Masakan, S Pavithra, (kiri) bersama suaminya M Sugu, teruja selepas melihat video Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di seluruh negara hari ini. - Foto BERNAMA

Menu nasi beriani kambing, ayam varuval untuk PM - Sugu Pavithra

IPOH: Hidangan nasi beriani kambing, kuah dal dan ayam varuval adalah antara menu yang dijanjikan akan dimasak oleh pasangan YouTuber, Sugu Pavithra jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke rumah mereka.

S Pavithra, 28, berkata menu itu dipilih kerana nasi beriani dimasak bersama kambing adalah antara sajian istimewa untuk tetamu istimewa.

Ibu kepada dua anak itu berkata, ayam varuval adalah antara masakan popular masyarakat India dan ia adalah hidangan ayam digoreng garing sebelum dimasak dengan bahan-bahan tertentu dan berkuah kering.

"Jika Perdana Menteri datang ke rumah saya, itulah yang saya akan masak walaupun agak mudah dan ringkas, tetapi rasanya lazat," katanya ketika ditemui di Menglembu dekat sini, hari ini.

Isteri kepada pekerja ladang, M Sugu, 28, juga berkata, mereka sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri akan menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di seluruh negara hari ini.

"Memang terkejut dan tidak percaya kerana kami hanya orang biasa sahaja," katanya apabila namanya dan suami kedengaran di kaca televisyen dan radio.

Menghargai keprihatinan Perdana Menteri kepada mereka, Pavithra berkata mereka akan meningkatkan usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan, seterusnya memperbaiki kehidupan.

"Kalau ada kemampuan, kami nak buka kedai makan seperti mana saranan Perdana Menteri," kata ibu kepada dua anak itu.

Muhyiddin, semasa mengumumkan PENJANA, juga berharap pasangan YouTuber itu dapat meningkatkan kemahiran dan membuka kedai makan satu hari nanti.

"Bolehlah kita merasa ayam varuval mereka," kata Muhyiddin, yang telah memberikan beberapa hadiah kepada suami isteri itu termasuk tripod pada bulan lalu.

Media sebelum ini melaporkan mengenai YouTuber 'Sugu Pavithra' yang berjaya menambat hari rakyat pelbagai kaum kerana memuat naik video masakan dalam bahasa Melayu walaupun mereka berbangsa India. – BERNAMA

Berita Harian X