Sabtu, 30 Mei 2020 | 4:15pm
Kerajaan Sarawak membenarkan bot ekspres di zon hijau COVID-19 beroperasi semula, termasuk ketika perayaan Gawai yang bermula Isnin ini. - Foto fail
Kerajaan Sarawak membenarkan bot ekspres di zon hijau COVID-19 beroperasi semula, termasuk ketika perayaan Gawai yang bermula Isnin ini. - Foto fail

Sarawak benarkan operasi bot ekspres

KUCHING: Kerajaan Sarawak membenarkan operasi bot ekspres di zon hijau ketika sambutan perayaan Gawai Dayak bermula Isnin ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, berkata, operator tidak dibenarkan membawa penumpang sehingga kapasiti penuh bot.

"Bot ekspres hanya membawa bilangan separuh penumpang setiap perjalanan.

"Ini bagi memastikan penumpang bot ekspres tidak duduk terlalu dekat dan mematuhi penjarakan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Khas Sarawakku Sayang kepada pengusaha bot tambang di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, pegawai penguat kuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang di bawah kementerian itu juga akan berada di semua terminal bot ekspres bagi memantau operasi.

Mengenai bantuan itu, katanya, seramai 199 penambang yang berdaftar menerima sumbang RM500 seorang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM99,500.

"Ini satu langkah yang diambil kerajaan Sarawak bagi meringankan beban pengusaha perahu tambang sejak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ekoran wabak COVID-19.

"Pengusaha perahu tambang kehilangan sumber pendapatan kerana penurunan jumlah pelanggan termasuk pelancong,"katanya.

Berita Harian X