Selasa, 26 Mei 2020 | 12:41pm
POLIS membuat pemantauan dan buat pemeriksaan di Kampung Banggol Tok Esah, Manir, pastikan orang ramai patuhi SOP sepanjang raya.- (Foto/Ghazali Kori)
POLIS membuat pemantauan dan buat pemeriksaan di Kampung Banggol Tok Esah, Manir, pastikan orang ramai patuhi SOP sepanjang raya.- (Foto/Ghazali Kori)

Polis Terengganu periksa dari rumah ke rumah

KUALA TERENGGANU: Polis Kontinjen Terengganu meneruskan pemeriksaan dan pemantauan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sambutan Aidilfitri di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, walaupun kunjung-mengunjung hanya dibenarkan pada hari raya pertama, namun pihaknya tetap melakukan pemantauan di kampung dan taman bagi memastikan tidak ada aktiviti itu, selain memastikan penduduk mematuhi SOP bagi membendung penularan COVID-19.

"Walaupun kunjung-mengunjung dibenarkan pada hari raya pertama sahaja namun, kita percaya ada yang curi-curi melakukan aktiviti itu secara senyap," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, seramai 40 anggota dan pegawai membabitkan 25 orang dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan 15 kereta peronda ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan kampung dan taman perumahan di seluruh negeri sepanjang pelaksanaan PKPB.

"Memasuki hari ketiga Aidilfitri, polis dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RELA sudah melakukan pemantauan di 44 kampung di seluruh negeri.

"Sebanyak 15 rumah diperiksa dan tujuh daripadanya diberi amaran kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup mulut dan hidung dan penjarakan sosial," katanya.

Katanya, selain kampung dan taman perumahan, pemantauan juga dilakukan di kawasan tumpuan awam seperti kawasan pantai, taman rekreasi dan pusat beli-belah serta institusi kewangan.

Bagi kesalahan rentas negeri pada Aidilfitri, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan ditunjukkan masyarakat negeri ini.

Roslee berkata, sebanyak lapan SJR dilaksanakan di Terengganu dengan empat di Besut, tiga di Kemaman dan satu di Hulu Terengganu.

Katanya, jumlah kenderaan yang melalui jalan utama di negeri ini ketika musim perayaan juga berkurangan berbanding sebelum ini.

"Sehingga kini belum ada kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh perayaan.

Hampir semua kenderaan melalui SJR terutama orang awam mempunyai surat kebenaran atau permit bergerak keluar masuk sempadan," katanya.

Berita Harian X