Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:02pm
Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak memeriksa premis peniaga basah di sekitar Bandaraya Ipoh. Foto KPDNHEP Perak
Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak memeriksa premis peniaga basah di sekitar Bandaraya Ipoh. Foto KPDNHEP Perak

Peniaga dikompaun RM5,000 jual ayam lebih harga maksimum

IPOH: Dua peniaga masing-masing dikompaun RM5,000 dan RM2,500 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak selepas didapati menjual barangan harga terkawal iaitu ayam standard serta cili merah melebihi harga maksimum ditetapkan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat KPDNHEP Perak, V Ravichandran, berkata kompaun dikeluarkan selepas peniaga ayam terbabit yang menjual ayam standard di sebuah pasar raya dengan harga RM7.70 berbanding harga maksimum barangan itu iaitu RM7.50 sekilogram.

Peruncit cili merah di Chemor dikompaun kerana menjual barangan itu pada harga RM18.00 berbanding harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM13.00 sekilogram.

"Operasi dijalankan hari ini bermula jam 8.30 pagi tadi, di mana kedua-dua peniaga terbabit dikenakan kompaun serta-merta kerana gagal mematuhi Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal atau harga maksimum runcit yang ditentukan mengikut perintah kawalan harga dan anti-pencatutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak memeriksa premis peniaga basah di sekitar Bandaraya Ipoh. Foto KPDNHEP Perak
Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak memeriksa premis peniaga basah di sekitar Bandaraya Ipoh. Foto KPDNHEP Perak

Seorang pemilik bengkel motosikal turut dikenakan kompaun RM2,000 serta-merta, hari ini kerana gagal mematuhi pendedahan maklumat senarai barang ganti dan senarai perkhidmatan pembaikan yang ditetapkan.

"Dia dikompaun kerana melanggar Peraturan 5, Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002," katanya.

Berita Harian X