X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:32pm
Mohd Hafiz Tahir (kiri) melayan pelanggan di tepi Jalan Masjid Tanah-Kampung Paya Rumput, Alor Gajah. - NSTP/Hassan Omar
Mohd Hafiz Tahir (kiri) melayan pelanggan di tepi Jalan Masjid Tanah-Kampung Paya Rumput, Alor Gajah. - NSTP/Hassan Omar

Tulang tengkuk jadi buruan buat sup

ALOR GAJAH: Jika ingin membeli tulang lembu atau kerbau untuk dibuat sup, jangan pilih tulang di bahagian lain kecuali di bahagian tengkuk kerana selain tulang yang banyak, ada banyak daging terlekat pada tulang itu.

Berbanding daging pada tulang rusuk atau paha, daging pada bahagian tengkuk sukar untuk dihiris keluar, sekali gus menjadikan tulang berkenaan paling banyak terlekat daging untuk dinikmati.

Itulah yang menjadi amalan Jantan Dollah, 57, ketika mendapatkan daging dan tulang menjelang Aidilfitri esok kerana ia sudah menjadi amalannya sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata, 'ilmu' memilih tulang tengkuk untuk dijadikan sup diperturunkan bapanya, Allahyarham Dollah Tamby ketika hayatnya masih ada selepas bapanya mewarisi ilmu berkenaan daripada datuknya, Allahyarham Tamby Ali.

"Kalau hendak puas makan sup, kita mesti pastikan tulang itu ada banyak daging dan ia tidak lain tidak bukan ialah tulang tengkuk," katanya ketika ditemui membeli daging dan tulang lembu di Jalan Masjid Tanah-Kampung Paya Rumput, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan memilih untuk mendapatkan tulang selangka kerana menyangka ada banyak daging pada tulang berkenaan tetapi sangkaan itu ternyata silap.

Jantan membelanjakan RM90 untuk mendapatkan tulang tengkuk seberat tiga kilogram (kg) daripada peniaga, Mohd Hafiz Tahir, 32.

Katanya, beliau pernah mencuba menjadikan tulang selangka sebagai pilihan utama untuk memasak sup tetapi ternyata ia tidak sehebat tulang tengkuk.

Mohd Hafiz berkata, tulang tengkuk menjadi pilihan kebanyakan pelanggan, terutama mereka yang memahami bahawa tulang pada bahagian berkenaan paling banyak terlekat daging kerana ia sukar untuk dihiris keluar.

"Ada pelanggan yang sudah membuat pesanan awal untuk mendapatkan tulang tengkuk kerana siapa cepat, dia dapat dan ketulan daging yang banyak ada apa tulang itu menyebabkan pelanggan benar-benar puas makan," katanya.

Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang lebih gemar akan tulang selangka berbanding tulang tengkuk kerana keadaan tulang selangka yang lurus memudahkan mereka menggigit daging berbanding tulang tengkuk, katanya.

Beliau berkata, sifat tulang tengkuk yang berlekuk dan berlubang di banyak tempat menyukarkan pelanggan menggigit daging.

Berita Harian X