X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:11pm
Kawasan zon merah.
Kawasan zon merah.

Hulu Langat kembali zon merah

SHAH ALAM: Pertambahan 10 kes baharu COVID-19 di Hulu Langat menjadikan daerah itu kembali ke zon merah apabila merekodkan 45 kes aktif terkumpul sehingga 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di laman web menteri besar, amirudinshari.com, daerah Hulu Langat bebas daripada zon merah pada 7 Mei lalu dan berada dalam zon kuning sehingga kelmarin apabila merekodkan kurang daripada 40 kes aktif.

Daerah itu merekodkan 35 kes aktif semalam tetapi mengalami pertambahan 10 kes baharu semalam.

"Setelah tiga hari Selangor bebas tanpa zon merah, Hulu Langat menjadi daerah pertama yang kembali semula ke zon merah pada hari ini (semalam).

"Warga Selangor sangat dilarang keras merentas negeri untuk pulang beraya. Jika terjadi jangkitan baru yang disebabkan kluster raya, kita terpaksa 'berkurung' sepertimana kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Tindakan anda bakal menyebabkan ekonomi negara tergendala dan lebih ramai orang akan hidup menderita," katanya.

Selangor juga mengalami peningkatan kes aktif yang tinggi semalam iaitu 20 kes baharu berbanding 8 kes kelmarin.

Selain itu, tujuh daerah yang masih berada di zon kuning adalah Petaling (25), Gombak (20), Kuala Selangor (8), Hulu Selangor (8), Klang (5), Sepang (5) dan Sabak Bernam (3) manakala Kuala Langat pula kekal di zon hijau.

Selangor kini merekod 1,693 kes positif COVID-19; 1,499 kes sembuh; 119 kes aktif dan 22 kematian.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X