Khamis, 21 Mei 2020 | 4:18pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: Tiada ziarah kubur di Kedah

ALOR SETAR: Umat Islam di negeri ini dilarang menziarahi tanah ketika sambutan Aidilfitri tahun ini, dalam usaha mengekang penyebaran pandemik COVID-19.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang, berkata larangan itu dibuat berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Umat Islam di Kedah tahun ini dilarang menziarahi kubur. Kita boleh duduk di rumah berdoa atau menghadiahkan pahala kebajikan kepada ibu bapa kita yang sudah meninggal dunia kerana pahala itu tetap sampai.

"Namun, menjadi kebiasaan atau mungkin perasaan tak puas. Maka, kita mahu juga duduk berdekatan kubur orang tua menyebabkan ia sudah menjadi tradisi.

"Jadi kita harap masyarakat di Kedah patuh arahan apatah lagi di Kedah ada jangkitan baharu membabitkan pelajar universiti," katanya.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, bacaan talkin di kubur di negeri ini juga tidak dibenarkan berikutan, prosedur operasi standard (SOP) mengenai proses pengebumian sudah ditetapkan kerajaan.

"Begitu juga dengan amalan kunjung mengunjung ketika Aidilfitri, hanya 20 orang boleh berada di dalam rumah dalam satu masa pada hari pertama sambutan.

"Sebarang bentuk pelanggaran terhadap arahan atau ketetapan yang dibuat oleh ulil amri adalah berdosa. Kerajaan mengeluarkan arahan demi kebaikan dan keselamatan rakyat jadi ikutlah arahan yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, Fadzil ditemui selepas menyerahkan sijil dan logo Muzakki (pembayar zakat) oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah di Menara Zakat hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Berita Harian X