Sabtu, 16 Mei 2020 | 7:07pm

Tujuh peniaga ayam diberi notis tunjuk sebab

ALOR SETAR: Seramai tujuh peniaga ayam di Kedah diberi notis tunjuk sebab oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas dikesan menaikkan harga ayam sejak seminggu lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata notis tunjuk sebab itu perlu dijawab dalam tempoh tiga hari bermula daripada ia dikeluarkan.

Katanya, kenaikan harga ayam yang membebankan pengguna terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikesan sejak minggu lalu, adalah tidak wajar berikutan bekalan bahan mentah itu mencukupi.

"Notis itu dikeluarkan kepada peniaga ayam di negeri ini sejak semalam, kita sedang siasat pihak mana yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam menjelang Aidilfitri.

"Selain permintaan ayam yang semakin meningkat, mereka ini juga mahu mengambil keuntungan awal sebab mereka tahu kerajaan akan menetapkan harga siling selepas ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Kompleks Pekan Rabu, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan harga ayam di Kedah meningkat sejak seminggu lalu, apabila peniaga terpaksa menaikkan harga ayam antara RM8 ke RM9.50 sekilogram.

Rosol berkata, pihaknya turut memberi amaran peniaga tidak sesuka hati menaikan harga barang berikutan semua bekalan bahan mentah seperti telur, sayur-sayuran, daging dan kelapa dijamin mencukupi semasa musim perayaan.

"Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita membuat pemantauan secara berterusan, sesiapa sahaja diharap jangan ambil kesempatan semasa rakyat sedang susah berdepan COVID-19," katanya.

Sementara itu, Rosol memberitahu harga bawang kembali ke paras normal apabila ia dijual antara RM3 hingga RM5 sekilogram berbanding RM13 sekilogram sebelum ini.

Rosol (kanan) mencuba songkok yang dijual di sebuah kedai sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP, Mohamed Zahari Razali ketika mengadakan lawatan ke Kompleks Pekan Rabu. - Foto Amran Hamid
Rosol (kanan) mencuba songkok yang dijual di sebuah kedai sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP, Mohamed Zahari Razali ketika mengadakan lawatan ke Kompleks Pekan Rabu. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X