Rabu, 13 Mei 2020 | 6:38pm
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi. - NSTP/OMAR AHMAD
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi. - NSTP/OMAR AHMAD

PKPB: Johor benarkan akad nikah mulai Ahad

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) membenarkan akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur standard operasi (SOP) tertentu, mulai Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata ia dihadkan hanya enam orang meliputi tiga daripada keluarga pengantin dan tiga lagi pihak urus setia pada upacara terbabit.

Selain itu, beliau berkata, mereka yang hadir dikehendaki memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

"Enam orang yang dibenarkan hadir ialah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi dan jurunikah. Mereka hanya dibenarkan bernikah di Pejabat Kadi daerah dan tiada majlis walimatul urus diadakan.

"Pasangan pengantin serta wali dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau mempunyai gejala tidak sihat dan ada kontak rapat dengan kluster aktif, perlu menangguhkan pernikahan sehingga mendapat perakuan daripada pihak kesihatan.

"Sepanjang tempoh PKP hingga kini, sebanyak 872 pasangan telah dibenarkan bernikah tetapi ditangguhkan. Majlis akad nikah akan dilangsungkan dengan maksimum masa 20 minit," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Tosrin berkata, permohonan untuk kebenaran berkahwin boleh diproses bagi di dalam dan luar Johor.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran berkahwin dengan warga asing ditangguhkan sehingga ketetapan lain diputuskan.

"Pendaftaran cerai ditangguhkan. Namun, mereka boleh memohon untuk pendaftaran sekiranya mendapat perintah pengesahan cerai daripada Mahkamah Syariah.

"Bagi pendaftaran rujuk, boleh dilaksanakan melalui temu janji di Pejabat Kadi daerah. Permohonan untuk daftar pengesahan pernikahan dan poligami juga ditangguhkan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X