Khamis, 7 Mei 2020 | 6:38pm
Hasil pemeriksaan mendapati faktor utama kejadian demam denggi berpunca daripada indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit. - Foto fail NSTP
Hasil pemeriksaan mendapati faktor utama kejadian demam denggi berpunca daripada indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit. - Foto fail NSTP

Kes denggi di Perak meningkat

IPOH: Kes demam denggi di Perak merekodkan peningkatan dengan 1,351 kes dilaporkan bermula awal tahun sehingga 2 Mei lalu berbanding 1,214 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, laporan menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 11.3 peratus kes demam denggi di negeri itu.

"Daerah Kinta mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun ini dengan 776 kes, diikuti daerah Batang Padang (126) Larut Matang Selama (LMS) (96).

"Daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 135 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Lay Ming berkata, terdapat 29 lokaliti wabak dilaporkan pada 18 minggu pertama di negeri itu pada tahun ini.

Daripada jumlah itu enam lokaliti dikategorikan sebagai 'hotspot' dengan wabak berlarutan lebih 30 hari, dua lokalti wabak tidak terkawal (berlarutan lebih 14 hari) dan 21 lokaliti terkawal (wabak dalam tempoh 14 hari dari tarikh pengisytiharan).

"Lima dari enam lokaliti hotspot denggi adalah dari daerah Kinta, iaitu Kampung Chepor Tambahan

dengan 19 kes, Kampung Tersusun Batu 10 (25), Taman Klebang Jaya (11), Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 (30) dan RPT Chepor (19) serta terdapat satu lokaliti hotspot denggi di daerah Batang Padang iaitu Taman Bukit Hijau (17)," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, satu kematian dilaporkan di Daerah Larut Matang Selama pada awal Januari lalu.

Selain itu, sebanyak 4,484 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemui di negeri ini dalam tempoh berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati faktor utama kejadian demam denggi berpunca daripada indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit.

"Pihak Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian demam denggi antaranya aktiviti pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) di premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang," katanya.

"Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan sebanyak 743 kompaun dan 115 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes," katanya.

Berita Harian X