Rabu, 6 Mei 2020 | 1:49pm
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (kanan) dalam sidang sidang media di Kuantan, hari ini. - NSTP/SHAHRINNAHAR LATIB
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin (kanan) dalam sidang sidang media di Kuantan, hari ini. - NSTP/SHAHRINNAHAR LATIB

COVID-19: Sektor perhotelan Pahang rugi RM500j

KUANTAN: Sektor perhotelan di Pahang mengalami kerugian kira-kira RM500 juta berikutan penularan wabak COVID-19 sehingga akhir bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata kerugian berkenaan membabitkan hotel bertaraf tiga hingga lima bintang.

"Banyak tempahan penginapan dibatalkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan hotel-hotel mengalami kerugian agak teruk.

"Boleh dikatakan sektor perhotelan adalah industri paling terkesan dengan pandemik COVID-19 ini dan kita jangkakan keadaan pulih tahun hadapan," katanya,

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman pemenang Februari Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Mohd Sharkar mencadangkan MOTAC melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia pada 2022.

"Oleh kerana Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dibatalkan, saya cadangkan ia dilaksanakan 2022 bagi merancakkan kembali sektor pelancongan dan rakyat digalak melancong secara domestik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tourism Pahang menangguhkan sementara Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome ke satu masa yang sesuai berikutan penularan COVID-19.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa yang belum pulih sepenuhnya," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X