Selasa, 5 Mei 2020 | 8:44am

Pengusaha bas ekspres Sabah bersedia beroperasi semula

KOTA KINABALU: Lebih 20 pengusaha bas ekspres di Sabah bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa sahaja selepas mendapat kebenaran Kementerian Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Datuk Donald Hanapi dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, berkata pihaknya sudah bermesyuarat dengan Setiausaha Tetap kementerian berkenaan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti bas ekspres sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Dalam mesyuarat itu, pihak kementerian bertanya sekiranya pengusaha bas ekspres bersedia untuk beroperasi jika dibenarkan dan kami sememangnya bersedia untuk kembali berkhidmat sejak operasi dihentikan 18 Mac lalu,

"SEBOC turut difahamkan bahawa kementerian akan mengadakan mesyuarat dalaman pada hari ini sebelum memberikan kata putus berhubung hal ini.

"Persatuan kami menekankan, diberikan subsidi minyak diesel kepada pengusaha bas dan juga dibantu dari segi penyediaan disinfeksi di setiap terminal bas untuk mengelakkan menularan wabak COVID-19," katanya.

Donald dalam mesyuarat terbabit turut mengemukakan permohonan agar kadar tambang bas dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerana pendapatan kurang memberangsangkan berikutan SOP penjarakan sosial.

"Jika sebelum ini sebuah bas ekspres boleh memuatkan 42 orang penumpang, namun dengan pelaksanaan penjarakan sosial hanya 20 orang dibenarkan di dalam bas.

"Pengurangan jumlah penumpang ini pastinya memberikan kesan yang sangat besar kepada pengusaha bas ekspres dan pihak kami berharap agar permohonan ini dipertimbangkan," katanya.

Berita Harian X