Sabtu, 2 Mei 2020 | 11:38am

Jerantut lulus 48 pasangan bernikah ketika PKP

JERANTUT: Sebanyak 48 pasangan di sini yang sudah mendapat kelulusan bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan berbuat demikian bermula hari ini.

Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa'ad, berkata hanya upacara akad nikah dibenarkan berlangsung dan sebarang majlis lain tidak boleh diadakan, manakala tarikh serta masa pernikahan pula akan ditentukan oleh pihak jabatan.

Beliau berkata, kehadiran dihadkan tidak melebihi lapan orang dan hanya yang berkeperluan sahaja hadir iaitu seorang jurunikah, dua saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan seorang wali.

Katanya, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah dipendekkan iaitu tidak melebihi 20 minit.

Syarifuddin berkata, keutamaan mengadakan majlis akad nikah ialah kepada bakal pasangan pengantin yang sudah mendapat kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tetapi tertangguh disebabkan PKP.

Beliau berkata, majlis akad nikah itu hanya dilaksanakan di pejabat PAID bagi memastikan keselamatan, pematuhan syarat dan tatacara serta pemantauan. dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"PAID juga akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengesahkan pihak yang hadir bukan senarai pesakit dalam siasatan dan pesakit dalam pemantauan serta borang permohonan yang lengkap akan diproses oleh PAID dalam tempoh tujuh hari," katanya.

"Mereka perlu memakai penutup mulut dan hidung, melepasi ujian suhu, penjarakan sosial, patuh susun atur kedudukan majlis yang ditentukan dan membuat sanitasi tempat majlis akad," katanya selepas mengahwinkan enam pasangan pengantin di Pejabat Agama Islam Daerah ( PAID) di sini hari ini.

Sementara itu, pasangan, Muhammad Irwan Shah Ismail, 27 dan Nor Syuhada Yusoff, 27 yang bernikah hari ini menyifatkan majlis perkahwinan mereka begitu tertib, ringkas dan cepat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Nor Syuhada berkata, beliau lega dan bersyukur majlis akad nikah itu dapat di laksanakan dengan teratur walapun sudah tertangguh hampir dua bulan di sebabkan PKP.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pasangan, Muhammad Irwan Shah Ismail, 27 dan Nor Syuhada Yusoff, 27, yang bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, hari ini ketika PKP. - Foto Roselan Ab Malek
    Pasangan, Muhammad Irwan Shah Ismail, 27 dan Nor Syuhada Yusoff, 27, yang bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, hari ini ketika PKP. - Foto Roselan Ab Malek
    Berita Harian X