Rabu, 29 April 2020 | 1:10pm

Majlis akad nikah selesai 15 minit

LANGKAWI: Hasrat pasangan Muhammad Fadzeli Aznan, 27, dan Nor Haslinda Hashim, 25, memeterai ikatan sebagai suami isteri akhirnya tercapai apabila mereka dinikahkan, hari ini.

Selepas terpaksa menundakan perkahwinan hampir sebulan, mereka teruja menjadi pasangan pertama di Langkawi yang bernikah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis akad nikah pasangan itu berlangsung di Pejabat Agama Daerah Langkawi (PADL), jam 9 pagi tadi, yang disempurnakan Pegawai Agama Daerah, Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin.

Bapa pengantin perempuan, Hashim Awang, menjadi wali pernikahan itu dengan disaksikan dua kakitangan PADL, Ismail Md Noor dan Shaiful Aswad Kasa.

Muhammad Fadzeli juga kakitangan hotel berkata, beliau dan pasangannya bersyukur kerana majlis akad nikah mereka yang ringkas itu selamat berlangsung hanya dalam masa 15 minit.

"Majlis akad nikah kami sepatutnya berlangsung pada 27 Mac lalu, namun ditunda kerana pelaksanaan PKP dan kami reda atas kekangan yang berlaku.

"Majlis ini menjadi kenangan sepanjang hayat buat saya dan isteri," katanya.

Sementara itu, Zainul Mukhtar berkata, secara keseluruhan, sebanyak 38 pasangan diberi kelulusan untuk melangsungkan pernikahan dalam tempoh PKP di Langkawi.

"Majlis dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP, iaitu menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Kita turut mengehadkan hanya tiga individu boleh hadir bagi setiap pasangan, iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali pernikahan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • MUHAMMAD Fadzeli dan Nor Haslinda mengaminkan doa dibaca oleh Zainul Mukhtar (kiri) sejurus selesai majlis akad nikah. - NSTP/Hamzah Osman
    MUHAMMAD Fadzeli dan Nor Haslinda mengaminkan doa dibaca oleh Zainul Mukhtar (kiri) sejurus selesai majlis akad nikah. - NSTP/Hamzah Osman
    Berita Harian X