Isnin, 27 April 2020 | 6:53pm
Kerajaan Pulau Pinang akan mengkaji semula harga siling rumah mampu milik negeri. - Foto hiasan
Kerajaan Pulau Pinang akan mengkaji semula harga siling rumah mampu milik negeri. - Foto hiasan

Kaji semula harga siling rumah mampu milik

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mengkaji semula harga siling rumah mampu milik negeri dan memperkenalkan lebih banyak faedah untuk pembeli rumah pertama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata PKP dan pandemik COVID-19 memberi kesan buruk kepada industri perumahan serta kemampuan pembeli rumah untuk membeli kediaman sendiri.

Beliau mencadangkan mengurangkan harga siling unit rumah mampu milik dengan peratusan tertentu untuk memudahkan pembeli rumah pertama, yang akan dibentangkan kepada EXCO dan ketua menteri untuk kelulusan," katanya dalam sidang media di sini.

Menurut beliau, harga siling semasa bagi rumah mampu milik di pulau itu dan tanah besar masing-masing adalah RM300,000 dan RM250,000.

Jagdeep juga mencadangkan untuk menambah jumlah unit perumahan di bawah skim rent to own (RTO) (sewa untuk dimiliki) daripada sekarang 2,088 unit RTO dan menyasarkan untuk menyediakan 18,000 lagi unit perumahan RTO menjelang 2030. - BERNAMA

Berita Harian X