Rabu, 22 April 2020 | 1:14pm
Pasangan pengantin baharu, Norlida Jamaluddin dan Muhammad Hafiz Ahmad Mustafa gembira selepas melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, Seri Manjung, Manjung, hari ini. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

'Tak kisah dianggap 'kahwin koboi'

MANJUNG: “Saya tak kisah kalau ada yang anggap kami ‘kahwin koboi’,” kata Muhammad Hafiz Ahmad Mustafa, 26, yang selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Norlida Jamaluddin, 24, di sini hari ini.

Pasangan berkenaan melangsungkan akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah Manjung di Seri Manjung, hanya dengan kehadiran abang Norlida sebagai wali serta beberapa kakitangan pejabat terbabit.

Mereka sepatutnya bernikah pada 27 Mac lalu, diikuti majlis persandingan pada 28 Mac, namun terpaksa menangguhkannya berikutan arahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu akibat penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, JAIPk pada 16 April lalu menarik balik larangan mengadakan majlis akad nikah di Perak sepanjang tempoh PKP.

Muhammad Hafiz yang bekerja sebagai pemandu jentera, mengakui walaupun akad nikah dijalankan dalam suasana agak santai dan tidak ramai tetamu, beliau tetap berdebar-debar serta gemuruh.

“Majlis dalam masa kurang 30 minit ini akan jadi pengalaman yang tidak akan dilupakan dalam hidup saya. Saya juga tak kisah kalau ada yang anggap kami macam ‘kahwin koboi’, sebaliknya bersyukur mendapat kelonggaran untuk bernikah ketika ini.

“Pernikahan ini akan jadi kenangan teristimewa dalam hidup kami, tetapi sedih juga tak dapat beri sesuatu lebih indah untuk isteri. Kami juga belum merancang majlis persandingan kerana tidak tahu situasi selepas ini. Kami buat perkara wajib dahulu, bila keadaan selamat nanti baru fikir semula,” katanya.

Pasangan pengantin baharu, Norlida Jamaluddin dan Muhammad Hafiz Ahmad Mustafa gembira selepas melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, Seri Manjung, Manjung, hari ini. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
Pasangan pengantin baharu, Norlida Jamaluddin dan Muhammad Hafiz Ahmad Mustafa gembira selepas melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, Seri Manjung, Manjung, hari ini. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Sementara itu, Norlida yang berasal dari Taman Samudera, Seri Manjung, mengakui sedih kerana majlis akad nikah berkenaan tidak dapat dihadiri ahli keluarga, selain abangnya yang menjadi wali.

“Memang sedih tiada ahli keluarga lain hadir menyaksikan pernikahan kami selain abang, tapi saya bersyukur semuanya sudah selesai dengan selamat,” katanya.

Katanya, apabila dimaklumkan sudah boleh melangsungkan akad nikah, beliau tanpa tanpa berfikir panjang memilih baju pertunangan dipakainya pada tahun lalu biarpun cadangan asal memakai baju berwarna putih.

“Walaupun majlis hari ini tidak seperti yang diimpikan kerana tanpa kehadiran ahli keluarga lain, sahabat dan pelamin indah, saya tetap bersyukur kerana hasrat untuk bersatu dengan pasangan dipermudahkan,” katanya.

Norlida yang sudah sembilan tahun berkawan dengan Muhammad Hafiz, turut mengakui sedih tidak dapat merakam momen indah saat disatukan dengan suami.

Berita Harian X