Selasa, 21 April 2020 | 10:01pm
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

PKP: Tiada kebenaran nikah 'online' di Perak setakat ini

IPOH: Pernikahan secara dalam talian susulan penguatkuasan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan di Perak selagi tiada keputusan mengenainya dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNP).

Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini berkata, keputusan membenarkan perkara itu juga perlu mendapat perkenaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Nikah ‘online’ dalam tempoh PKP tidak akan dilaksanakan di negeri Perak selagi tiada keputusan dari JFNP dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Perak.

“Sebarang keputusan dari JFNP atas perkenan DYMM Tuanku Sultan Perak mesti kita menghormatinya. Harap maklum,” katanya ringkas menerusi kenyataan itu.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Sabtu lalu membenarkan berlangsungnya majlis akad nikah dalam talian pertama di negara ini yang dilakukan secara sidang video.

Mohd Akmal berkata, sebaliknya rakyat negeri Perak yang ingin melangsungkan pernikahan dalam tempoh PKP diminta berpegang kepada Tatacara Khas Majlis Akad Nikah (TKMAN) Versi 2.0 seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 16 April lalu.

Menerusi TKMAN terbaharu yang akan berkuatkuasa mulai 22 April (esok) itu, majlis akad nikah hanya boleh dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah dengan mematuhi segala langkah pencegahan daripada dijangkiti COVID-19 yang ditetapkan.

Ketetapan yang harus dipatuhi antaranya majlis hendaklah berlangsung dalam tempoh 30 minit memababitkan tiga sesi setiap hari iaitu 9.30 pagi, 11.30 pagi dan 2.30 petang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X