Selasa, 21 April 2020 | 12:43pm

Roti canai PKP laris

TUMPAT: Dua beranak yang berniaga roti canai di Kampung Geting, di sini, tak menang tangan melayan tempahan pelanggan seawal jam 7 pagi.

Tanpa mengabaikan penjarakan sosial, pelanggan terdiri daripda penduduk kampung akan beratur atau menunggu dari dalam kenderaan masing-masing untuk membeli roti canai ditebar Zuraina Mohamad, 44 dengan dibantu anak perempuannya, Nor Hafizah Ghazali, 25 tahun.

Zuraina berkata, jika hari biasa sebelum pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu, dia hanya menyediakan 10 kilogram (kg) tepung gandum sahaja setiap hari namun dalam tempoh sekarang jumlahnya meningkat kepada 12kg.

“Sebelum PKP, ramai gerai dan kedai makan dibuka menyebabkan orang ramai banyak pilihan untuk menikmati sarapan.

“Bila dalam keadaan sekarang, mungkin hanya saya yang membuat roti canai di sekitar Kampung Geting ini manakala gerai lain menjual nasi berlauk,” katanya ketika ditemui di sini.

Aneka roti canai antaranya roti kosong, telur, cotek, planta, boom dan milo sedia ditebarnya malah Zuraina turut menyediakan murtabak.

Dia yang sudah 20 tahun menebar dan berniaga roti canai berkata, dalam tempoh PKP ini, hasil jualannya juga cepat habis dan kira-kira jam 10 pagi mereka sudah menutup premis.

“Kalau sebelum ini saya memang mengupah seorang pembantu tapi disebabkan PKP, dia tidak dapat datang bekerja dan memandangkakan Nor Hafizah baharu sahaja menamatkan pengajian di universiti, dia membantu saya buat masa ini.

“Biasanya pada bulan Ramadan, saya akan berniaga murtabak di gerai ini tapi apabila mendapat tahu tiada bazar Ramadan dan tidak boleh dijalankan konsep pandu lalu, maka rutin tahunan tidak dapat dijalankan,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Bagi Nor Hafizah pula, dia tidak kisah membantu ibunya berniaga roti canai memandangkan itu adalah sumber pendapatan mereka sejak sekian lama.

“Lagipun saya juga sudah tamat belajar dan sebelum mendapat tawaran pekerjaan, tak salah sama-sama membanting tulang bersama ibu berniaga roti canai.

“Kami sedar banyak kekangan perlu dijaga dalam tempoh PKP dan kami juga mematuhi arahan keselamatan iaitu memakai penutup hidung dan mulut serta penjarakan sosial bagi pembeli... lagipun lebih ramai yang menunggu dalam kenderaan masing-masing berbanding beratur di luar,” kata bekas penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu.

Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Ibrahim Bakri Mat Deris, berkata dalam tempoh PKP, penjualan makanan atau minuman membabitkan premis atau gerai yang sedia ada wujud dibenarkan beroperasi dengan syarat membeli secara bungkus dan terus dibawa pulang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Zuraina dibantu anak perempuannya, Nor Hafizah berniaga roti canai di gerai tepi jalan di Kampung Geting, Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris.
    Zuraina dibantu anak perempuannya, Nor Hafizah berniaga roti canai di gerai tepi jalan di Kampung Geting, Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris.
    Berita Harian X