Ahad, 19 April 2020 | 5:13pm

Kelantan tetap tiga kadar zakat fitrah antara RM7 - RM21

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah tahun ini iaitu RM7, RM14 dan RM21.

Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab Rahman, berkata pembayar zakat boleh memilih kadar zakat berdasarkan keselesaan mengikut harga beras dimakan.

Katanya, kadar nisbah mata wang negara bagi tahun 1441H/2020M ialah sebanyak RM15,972.06 untuk haul antara Ramadan tahun 1441H hingga 1422H.

“Amil sudah dilantik untuk memungut zakat fitrah bagi pihak MAIK yang terdiri daripada imam masjid di setiap mukim negeri, pegawai agama di Kem Tentera, Balai Polis, Pusat Tahanan dan agensi yang sudah diberi kebenaran.

“Bagi kutipan zakat harta dan fitrah pada tahun ini, MAIK mengalu-alukan masyarakat mengutamakan pembayaran zakat secara dalam talian dengan merujuk portal MAIK pada laman sesawang www.e-maik.my memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April.

“Kaunter Zakat MAIK di Kompleks Islam Darulnaim, Balai Islam Lundang hanya beroperasi untuk Kaunter Zakat Fitrah sahaja mulai jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari sepanjang Ramadan kerana mematuhi syarat semasa PKP dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zulkifle berkata, selain itu, zakat juga boleh dibayar melalui 16 institusi perbankan yang dilantik oleh MAIK sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), CIMB, RHB, AmBank, Maybank, Bank Rakyat, Standard Chartered, Affin Islamic Bank Berhad, Affin Bank Berhad, HSBC Bank Berhad, EON Bank Berhad, Al-Rajhi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional (BSN), OCBC Al-Amin, dan Agrobank yang boleh dilaksanakan dengan menggunakan perkhidmatan kaunter dan perbankan internet.

“Pada masa sama, MAIK juga sudah melantik BIMB sebagai ‘Acquiring Bank’ bagi melaksanakan fasiliti pembayaran melalui Merchant Pembayaran Portal Rasmi MAIK (e-zakat payment) di www.e-maik.my.

“Perluasan kaedah pembayaran ini adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan teknologi terkini iaitu menyediakan medium bayaran secara dalam talian yang mampu dilaksanakan secara cepat, mudah, dan selamat melalui tiga pilihan bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab,” katanya.

Beliau berkata, MAIK juga memperluaskan operasi pungutan zakat di seluruh jajahan Kelantan menerusi pembukaan Kaunter Baitulmal di masjid bandar di jajahan serta masjid mukim yang beroperasi mulai jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari sepanjang Ramadan.

“Selain itu, pembayaran juga boleh dilaksanakan di Pejabat Pos di seluruh negeri sebagaimana jadual yang dikeluarkan dan pihak kami akan memaklumkan maklumat terkini di dalam portal MAIK,” katanya.

Berita Harian X