Sabtu, 18 April 2020 | 2:20pm
Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru Kuala Lumpur antara lokasi jualan juadah popular setiap tahun - NSTP /Aizudin Saad
Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru Kuala Lumpur antara lokasi jualan juadah popular setiap tahun - NSTP /Aizudin Saad

Peniaga Bazar Ramadan, Aidilfitri diberi dua pilihan

KUALA LUMPUR: Penjaja yang sudah mendaftar dan membayar untuk perniagaan di Bazar Aidilfitri di Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020 di 65 lokasi di ibu negara di beri dua pilihan berikutan pembatalan kedua-duanya.

Pilihan pertama adalah tidak menuntut bayaran fi lesen, caj perkhidmatan atau pembersihan, sewa tapak, wang cagaran dan mana-mana berkaitan yang sudah dibayar namun layak secara automatik berniaga di kedua-dua bazar terbabit pada tahun depan.

Penjaja yang mahu menuntut semula semua bayaran berkenaan akan dimaklumkan mengenai cara permohonan serta proses pemulangan berkaitan.

Bagaimanapun, mereka yang memilih pilihan kedua itu tidak layak untuk berniaga di kedua-dua bazar berkenaan pada tahun depan sebaliknya perlu membuat permohonan semula sebaik dibuka nanti

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata peniaga di beri tempoh antara jam 12 tengah hari pada 20 April hingga 30 April ini untuk membuat pilihan itu menerusi laman https://elesen.dbkl.gov.my/ebazar.

DBKL berkata keputusan penjaja memilih salah satu pilihan itu adalah muktamad dan tiada rayuan akan dilayan selepas pilihan dibuat.

“Penjaja yang tidak membuat sebarang pilihan dianggap memilih pilihan pertama dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.

“Apa-apa bayaran (selain bayaran lesen DBKL) yang sudah dibuat terus kepada mana-mana persatuan penjaja perlu berurusan terus dengan pihak berkaitan kerana DBKL tidak terbabit dengan sebarang penerimaan mahupun pemulangan bayaran itu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X