Khamis, 16 April 2020 | 1:52pm
Gambar hiasan. Foto/BERNAMA
Gambar hiasan. Foto/BERNAMA

PKP: Perak tarik balik arahan tangguh nikah

IPOH: Arahan untuk menangguhkan majlis akad nikah di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana diumumkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini ditarik balik.

Ketua Pegawai Ekesekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari, berkata ia susulan Tatacara Khas Majlis Akad Nikah (TKMAN) terbaharu yang dikeluarkan JAIPk bertarikh 10 April 2020 bagi menggantikan tatacara sebelumnya yang dikeluarkan 17 Mac lalu.

Beliau berkata, berpandukan tatacara terbaharu itu yang dirujuk sebagai TKMAN 2.0, akad nikah mestilah dilaksanakan hanya di premis Pejabat Agama Islam Daerah dan tidak di tempat-tempat lain termasuk premis awam mahupun persendirian dalam tempoh tidak melebihi 30 minit.

Katanya, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah (PTAID) atau wakilnya dikehendaki menyediakan sebuah bilik khas bagi melangsungkan majlis terbabit di mana proses nyahkuman hendaklah dilakukan dari masa ke semasa.

Shahrul Azam berkata, majlis terbabit juga hanya boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua saksi, pengantin yang ingin disatukan, serta seorang wali pengantin wanita dengan kesemua yang terbabit dikehendaki mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang majlis berlangsung termasuk mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

“Antara ketetapan lain yang mesti dipatuhi adalah tiada berjabat tangan ketika lafaz Ijab dan Qabul, tiada upacara lain seperti pembatalan air sembahyang, menyarung cincin, sesi bergambar, dan sebagainya selain dikehendaki memakai penutup muka sewaktu majlis berlangsung.

“Selain itu, PTAID atau wakilnya juga dipertanggungjawab memastikan kesemua individu yang terbabit dalam majlis berkenaan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PTAID juga hanya boleh memberi kebenaran sebanyak tiga sesi majlis nikah sehari yang masing-masing selama 30 minit iaitu 9.30 pagi, 11.30 pagi dan 2.30 petang.

Katanya lagi, segala dokumentasi dan pengeluaran sijil perakuan nikah bagaimanapun terpaksa ditangguhkan dan hanya disempurnakan selepas tamat tempoh PKP.

Shahrul Azam berkata, PTAID juga diberikan kuasa untuk membatalkan majlis berkenaan sekiranya tatacara terbaharu itu tidak dipatuhi atau terdapat arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Negeri Perak (KPNCR).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X