Isnin, 13 April 2020 | 1:55pm
Covid-TT atau ‘Covid Transport-Tool’ yang direka khas oleh kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi tujuan pemindahan ke atas pesakit COVID-19. - NSTP/Ihsan USM
Covid-TT atau ‘Covid Transport-Tool’ yang direka khas oleh kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi tujuan pemindahan ke atas pesakit COVID-19. - NSTP/Ihsan USM

COVID-19: HUSM cipta alat pindah pesakit SARI dan PUI

KOTA BHARU: Petugas Dewan Bedah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, mencipta satu inovasi baharu iaitu COVID-TT atau ‘Covid Transport-Tool’ bagi melakukan pemindahan pesakit COVID-19.

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata COVID-TT yang dihasilkan ini adalah untuk pemindahan pesakit dalam kategori ‘Patient Under Investigation’ (PUI) dan pesakit mempunyai gejala ‘Severe Acute Respiratory Infections’ (SARI) yang menjalani pembedahan di Dewan Bedah Trauma.

“Pemindahan menggunakan COVID-TT berupaya mengelakkan kontaminasi rebakan kepada persekitaran disebabkan penularan wabak COVID-19.

“Peralatan yang dihasilkan ini berfungsi dengan mengekalkan persekitaran “negative pressure” yang selamat semasa pemindahan pesakit,” katanya.

Dr Ahmad Sukari berkata, inovasi berkenaan adalah hasil cetusan idea Ketua Jabatan Anestesiologi, Profesor Madya Dr Wan Mohd Nazaruddin Wan Hassan dan Penyelaras Dewan Bedah, Profesor Madya Dr Rhendra Hardy Mohamad Zaini.

Ia dihasilkan menggunakan bahan seperti paip pvc, plastik jernih yang tebal, sarung tangan getah, pita pelekat, gam, hepafilter, vacum pum dan alat yang dikitar semula iaitu ‘valve trocar laparoscopic disc’ dan tubing circuit dengan keseluruhan kos berjumlah RM300.

“Dengan penjimatan kos dan penggunaan bahan yang dikitar semula ini diharap dapat memberi impak yang tinggi kepada USM dan masyarakat amnya.

“Walaupun alat yang dihasilkan ini ringkas dan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan patient isolation and transportation’ (ISOPOD) yang berharga antara RM30,000 hingga RM40,000, namun COVID-TT dapat menjaga keselamatan petugas yang menguruskan pesakit PUI dan SARI.

“Selain ia mampu memastikan kakitangan serta pengunjung HUSM tidak terdedah kepada persekitaran yang membahayakan,” katanya.

Dr Ahmad Sukari berkata, masalah kekurangan peralatan di hospital adalah isu global di mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak COVID-19 termasuklah penggunaan peralatan perubatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan serta ISOPOD yang meningkat secara mendadak.

Katanya, walaupun belum dijadikan sebagai hospital untuk pesakit COVID-19, HUSM dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani isu penularan wabak COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X