Sabtu, 11 April 2020 | 2:54pm
MELAKA 11 APRIL 2020. Bom tangan yang ditemu. NSTP/AMIR MAMAT
MELAKA 11 APRIL 2020. Bom tangan yang ditemu. NSTP/AMIR MAMAT

7 bom tangan dijumpai di tanah terbiar

MELAKA: Seorang lelaki terkejut apabila menemui beberapa butir bom lama ketika sedang membersihkan tanah miliknya di Kampung Sungai Udang, di sini, lewat petang semalam.

Nazry Kamal Hadi, 50, berkata berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia mengambil kesempatan membersihkan kawasan tanahnya yang terbiar sejak tiga tahun lalu, namun terkejut apabila menjumpai objek dipercayai bom tangan di sebalik rimbunan semak, kira-kira jam 6.30 petang.

“Ketika saya sedang bersihkan kawasan, bakar sampah serta longgokan kayu, tiba-tiba saya ternampak satu bekas besi menyerupai tin biskut. Saya cuba angkat, tetapi berat.

“Saya hempas pada batu sehingga bekas itu terbuka dan mendapati ada empat butir objek besi seperti bom. Saya kemudian bertindak memanggil jiran berhampiran sebelum menghubungi pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 7.41 petang semalam, dan dimaklumkan terdapat empat butir objek dipercayai bom ditemui di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil siasatan dijalankan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mendapati terdapat tujuh butir bom tangan keseluruhannya ditemui.

“Pemilik tanah memaklumkan bahawa beliau tidak tahu mengenai bom tangan berkenaan kerana tidak pernah lihat sebelum ini.

“Unit pemusnah bom kemudian membuat pemeriksaan di kawasan tempat ia ditemui dan menemui tujuh lagi bom tangan dengan enam daripadanya masih aktif tetapi dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi bom tangan yang tidak selamat itu dimusnahkan di lokasi kejadian dan sampel bahan letupan berkenaan akan dirujuk ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Bom tangan itu dimusnahkan jam 11.30 malam tadi.

Berita Harian X