Khamis, 9 April 2020 | 8:36pm
Ikan kekek yang kurang nilai komersial dipercayai dibuang nelayan pukat hanyut. - Fot Hamzah Osman
Ikan kekek yang kurang nilai komersial dipercayai dibuang nelayan pukat hanyut. - Fot Hamzah Osman

Ikan terdampar bukan petanda bencana

LANGKAWI: Orang ramai diminta supaya tidak mengaitkan kejadian ikan kikek terdampar di Pantai Tanjung Rhu di sini, sebagai petanda kononnya akan berlaku bencana di kawasan itu.

Pegawai Perikanan Daerah Langkawi, Azahar Ahmad, berkata berdasarkan gambar yang tular di media sosial, ia adalah spesies ikan kekek yang kurang mendapat sambutan pengguna.

“Ikan itu bukan naik sendiri ke pantai seperti didakwa sebahagian warganet dalam media sosial, sebaliknya dipercayai hasil tangkapan nelayan menggunakan pukat hanyut.

“Mereka (nelayan) hanya ambil ikan kembung atau pelaling sahaja kerana ia lebih berharga di pasaran, berbanding kekek bersaiz kecil,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ikan kekek dipercayai dibuang nelayan untuk membersihkan pukat di tengah laut sebelum dihanyutkan ombak ke persisiran dan terdampar di pantai. - Foto Hamzah Osman
Ikan kekek dipercayai dibuang nelayan untuk membersihkan pukat di tengah laut sebelum dihanyutkan ombak ke persisiran dan terdampar di pantai. - Foto Hamzah Osman

Azahar berkata, ikan kekek itu dipercayai dibuang nelayan untuk membersihkan pukat di tengah laut sebelum dihanyutkan ombak ke persisiran dan terdampar di pantai.

“Selalunya ikan-ikan kecil termasuk kekek dijual oleh nelayan pukat hanyut kepada pengusaha ternakan ikan dalam sangkar sebagai makanan ikan.

“Bagaimanapun, anggota penguat kuasa kami masih menyiasat untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang ikan terbabit sehingga mencemarkan pantai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Langkawi, Azhar Hassan turut percaya kejadian itu disebabkan sekumpulan nelayan tidak bertanggungjawab.

“Kebanyakan udang dan ikan bersaiz besar sudah diambil nelayan terbabit dan anak ikan serta ikan bersaiz kecil yang tidak bernilai komersial dibuang ke laut.

“Saya mendapat maklumat daripada pemimpin persatuan nelayan, punca kejadian bukan dilakukan nelayan Langkawi, sebaliknya mungkin tindakan kurang matang oleh nelayan pukat jerut,” katanya.

Keterangan gambar:

1. Sebahagian ikan kikek dipercayai dibuang ke laut oleh nelayan pukat hanyut sebelum terdampar di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. NSTP/IHSAN PEMBACA

Berita Harian X