Selasa, 7 April 2020 | 1:36pm

Sita alat niaga penjaja ingkar

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bertindak menyita peralatan niaga tiga penjaja ikan dan sayur yang ditinggalkan di tepi jalan di Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

Dalam operasi pada jam 8.30 pagi tadi, kesemua peralatan penjaja seperti tong mengandungi ikan dan buah-buahan itu disita penguatkuasa MBAS untuk tindakan lanjut.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar, berkata sebelum ini pihaknya sudah memberi notis kepada peniaga terbabit, namun sehingga sekarang mereka tidak mempedulikannya.

Beliau berkata, barangan niaga yang ditinggalkan akan mengakibatkan kekotoran di kawasan itu terutamanya yang membabitkan jualan ikan selain mengundang kehadiran tikus dan sebagainya.

“Berikutan itu kita terpaksa menyita barangan niaga yang ditinggalkan di tepi jalan untuk tindakan lanjut.

“Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 109 ingkar notis dan sekiranya peniaga terbabit tidak mempunyai lesen kita akan ambil tindakan mengikut Undang-undang Kecil Lesen, Penjaja dan Gerai dan kompaun RM300,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan.

Ahmad Syaher berkata, dalam operasi itu juga pihaknya turut melakukan pemeriksaan di kawasan yang menjadi tempat tumpuan awam di sekitar bandar raya ini.

“Kita sudah berada pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami perlu bertindak lebih tegas dan menyita peralatan sekiranya ada peniaga masih ingkar

“Kita juga tidak menggalakkan penjaja berniaga di bahu jalan bagi mencegah dari sebarang kekotoran kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap kesedaran masyarakat di bandaraya ini dengan mengamalkan pembelian barangan di pasar awam dengan melakukan jarak sosial satu meter dan memakai penutup muka dan hidung.

“Hasil tinjauan di pasar awam Kampung Berjaya pagi tadi juga mendapati tahap pematuhan orabg awam juga baik dan mereka mengikut peraturan ketika memasuki pasar iaitu dengan melakukan pemeriksaan suhu dan beratur dalam keadaan jarak satu meter.

“Kita berharap langkah ini dapat dikekalkan sehingga tamat PKP,” katanya.

Anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyita alat niaga milik penjaja tepi jalan kerana ingkar notis yang ditetapkan di Jalan Datuk Kumbar.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkifli
Anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyita alat niaga milik penjaja tepi jalan kerana ingkar notis yang ditetapkan di Jalan Datuk Kumbar.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkifli
Berita Harian X