Isnin, 6 April 2020 | 1:22pm
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman (kanan) meninjau bekalan makanan di di Kompleks Pembangunan Asnaf, Mergong. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman (kanan) meninjau bekalan makanan di di Kompleks Pembangunan Asnaf, Mergong. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

COVID-19: LZNK agih peruntukan tambahan RM9.7 juta

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mula mengagihkan peruntukan tambahan bantuan bernilai RM9.7 juta kepada penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman, berkata penghantaran makanan itu akan dibuat secara berperingkat di semua 578 masjid dan memberi manfaat kepada 173,400 keluarga di seluruh Kedah.

“Setiap masjid menerima 300 kampit beras lima kilogram, 600 tin sardin dan 100 botol kicap. Setiap keluarga akan mendapat satu kampit beras, dua tin sardin dan satu botol kicap.

“Kita harap ia mampu memberikan keselesaan kepada mereka yang terputus bekalan makanan apabila ia mula diagih mulai hari ini sehingga Mei,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pembangunan Asnaf di sini, hari ini.

Sebelum ini, LZNK sudah memperuntukkan lebih RM7 juta bagi membeli makanan untuk diagih kepada golongan terkesan akibat pelaksanaan PKP.

Zakaria berkata, pihaknya mendapati antara golongan paling terjejas penjaja, peniaga kecil dan pekerja bergaji hari.

Sementara itu, LZNK juga sedang membuat bancian kerosakan rumah akibat ribut yang melanda beberapa daerah di negeri ini semalam, sebelum mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Zakaria, berkata bantuan itu akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah supaya tidak berlaku pertindihan.

“Pagi ini pegawai LZNK sudah membuat bancian di 50 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, kita akan salurkan bantuan secepat mungkin selepas diselaraskan Pejabat Daerah,” katanya.

Menerusi kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah pagi tadi, sebanyak 86 rumah dan lima kedai di lapan daerah di negeri ini rosak akibat dibadai ribut.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X