Khamis, 2 April 2020 | 7:21pm
Amil Korporat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Berhan Rahman (dua daripada kiri) bersama Pegawai Jejak Asnaf MAIJ, Nasir Ishak (kanan sekali) dan Pengerusi Surau Nur Salam Pangsapuri Meranti, Shaiful Anuar Mohd Noor, (kiri sekali) menyampaikan bantuan kit makanan kepada keluarga terjejas di Pangsapuri Meranti Taman Universiti. - Foto ihsan MAIJ
Amil Korporat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Berhan Rahman (dua daripada kiri) bersama Pegawai Jejak Asnaf MAIJ, Nasir Ishak (kanan sekali) dan Pengerusi Surau Nur Salam Pangsapuri Meranti, Shaiful Anuar Mohd Noor, (kiri sekali) menyampaikan bantuan kit makanan kepada keluarga terjejas di Pangsapuri Meranti Taman Universiti. - Foto ihsan MAIJ

COVID-19: MAIJ agih 20,000 kit makanan kepada penduduk

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sudah mengagihkan 20,000 kit bantuan barang makanan kepada penduduk terjejas akibat penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Jurucakap MAIJ ketika dihubungi berkata, bantuan barang makanan itu diagihkan kepada rakyat yang terjejas termasuk terputus bekalan makanan disebabkan ketiadaan wang, diberhentikan kerja atau tidak menerima gaji berikutan wabak COVID-19.

“Sebanyak 20,000 kit barang makanan membabitkan beras, tepung, biskut, gula, sardin dan telur sudah diagihkan kepada fakir miskin, asnaf, orang Asli selain penduduk Johor.

“Keutamaan diberikan kepada golongan asnaf terutama warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin namun penduduk Johor yang keputusan makanan berikutan ketiadaan wang juga turut dibantu.

“Bagi penduduk negeri ini yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera, maklumkan ketua kampung atau penghulu di kawasan masing-masing bagi membolehkan bantuan segera daripada MAIJ diselaraskan Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya ketika dihubungi.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Muhammad mengumumkan bantuan barang keperluan asas dengan peruntukan RM2 juta akan disalurkan untuk seisi rumah kepada keluarga terputus bekalan makanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan mereka tidak dapat bekerja sehingga kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan perintah.

Sementara itu, Amil Korporat MAIJ, Datuk Berhan Rahman bersama Pegawai Jejak Asnaf MAIJ, Nasir Ishak turut mengagihkan kit bantuan makanan kepada 21 keluarga di Pangsapuri Meranti, Taman Universiti, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Surau Nur Salam Pangsapuri Meranti, Shaiful Anuar Mohd Noor, 58, berkata bantuan berkenaan disalurkan selepas pihaknya menghantar borang kepada keluarga terjejas akibat wabak COVID-19.

“Alhamdulillah, sebanyak 21 keluarga yang terjejas kebanyakannya terpaksa bercuti tanpa gaji sepanjang PKP ini, bersyukur kerana mendapat bekalan makanan segera.

“Insya-Allah, MAIJ juga ada memaklumkan akan terus membantu mereka mendapatkan bekalan makanan sepanjang PKP ini supaya tiada keluarga yang keputusan makanan, ” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X