Khamis, 2 April 2020 | 10:10am
Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Ahmad Zhafaran Mohammed Nasib (dua dari kiri) menerima sumbangan untuk petugas media daripada wakil One Hope Charity and Welfare, Lee Pei Pei di Bukit Mertajam. - Foto Ihsan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang
Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Ahmad Zhafaran Mohammed Nasib (dua dari kiri) menerima sumbangan untuk petugas media daripada wakil One Hope Charity and Welfare, Lee Pei Pei di Bukit Mertajam. - Foto Ihsan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang

COVID-19: Petugas media dapat topeng muka

BUKIT MERTAJAM: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity and Welfare di sini, menyumbang 51 set topeng muka, cecair pembasmi kuman serta cecair pencuci tangan kepada petugas media dari Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA).

Pengerusinya, Chua Sui Hau, berkata sejak awal Februari, pihaknya menyumbang pelbagai peralatan perubatan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan kesihatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta hospital kerajaan.

Katanya, sumbangan yang mencecah lebih RM1 juta itu bagi membantu petugas barisan hadapan memerangi COVID-19, merangkumi topeng muka, penutup kepala, jubah pengasingan, alat pengesan suhu, khemah, cecair pembasmi kuman dan pencuci tangan, ‘Vital Sign Monitor’, stetoskop, kipas angin dan sebagainya.

“Bagi kami, media juga sebahagian daripada wira barisan hadapan yang berkhidmat untuk masyarakat kerana sanggup menggadai nyawa pada waktu penularan COVID-19 semata mata untuk memberi laporan berita yang sahih dan tepat.

“Jadi, kami terpanggil untuk menjaga rakan-rakan media di negeri ini dan diharapkan sumbangan kecil yang diberikan dapat membantu mereka bertugas di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sumbangan berkenaan diserahkan wakil One Hope Charity, Lee Pei Pei kepada Presiden MUTIARA, Ahmad Zhafaran Mohammed Nasib.

Sementara itu, Ahmad Zhafaran berkata, MUTIARA berunding dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan sumbangan topeng muka serta cecair pembasmi kuman bagi membolehkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada wartawan dan jurugambar dilindungi ketika bertugas.

“Untuk membeli penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman sangat sukar bahkan jika ada pun kosnya terlalu tinggi hingga menyukarkan ahli-ahli kami mendapatkan bekalan. Syukur sangat banyak pihak terutama NGO prihatin dengan wakil media di negeri ini.

“Kami berterima kasih serta menghargai pertolongan yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, petugas media di negeri ini turut menerima sumbangan topeng muka daripada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, manakala pengeluar air mineral, Spritzer Berhad menyumbangkan 50 karton air mineral.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X