Ahad, 29 March 2020 | 1:21pm
Laman web asnafcare.com.my
Laman web asnafcare.com.my

Tak perlu isi borang mohon bantuan

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak menetapkan sebarang prosedur borang permohonan yang perlu diisi bagi mendapatkan bantuan bekalan makanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman, berkata golongan yang terjejas akibat PKP boleh terus menghubungi penolong amil atau imam masjid di kariah masing-masing bagi mendapatkan bantuan berkenaan.

“Kita sudah mengagihkan beras dan sardin kepada 576 masjid dengan setiap masjid mendapat 200 kampit beras bagi kegunaan 115,000 keluarga asnaf.

“Jadi orang ramai yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi jawatankuasa masjid untuk meminta bantuan, mereka tak perlu hadir ke masjid kerana penolong amil dan imam yang akan ke rumah mereka untuk menyerahkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya akan terus memantau pengagihan bekalan makanan berkenaan bagi memastikan ia mencukupi berikutan ramai yang terjejas ketika PKP.

Katanya, peranan pengagihan diberikan kepada mereka yang layak kerana imam dan penolong amil lebih mengenali dan memahami situasi anak kariah masing-masing.

“Bantuan ini adalah sebahagian jumlah RM7 juta yang diperuntuk bagi membantu golongan sasar yang terjejas sepanjang PKP.

“Namun, kita masih berharap lebih ramai pihak memberi sumbangan kepada LZNK menerusi laman web asnafcare.com.my bagi memastikan bantuan dapat diteruskan sehingga tamat PKP,” katanya.

Berita Harian X