Khamis, 26 March 2020 | 6:52pm
Jualan akhbar ketika PKP turut terkesan dengan PKP, sekali gus menjejaskan pendapatan pengedar akhbar. - Foto NSTP
Jualan akhbar ketika PKP turut terkesan dengan PKP, sekali gus menjejaskan pendapatan pengedar akhbar. - Foto NSTP

COVID-19: Pengedar akhbar Pulau Pinang harap nasib terbela

KUALA LUMPUR: Persatuan Penjual-Penjual Akhbar dan Buku Negeri Pulau Pinang (PENBA) menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan tidak memandang sepi nasib ahlinya yang turut terjejas mata pencarian, susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Presidennya, M Murugesu, berkata pengedar surat khabar setiap hari menanggung risiko untuk melaksanakan tanggungjawab, malah berdepan pelbagai halangan ketika mengedar akhbar harian.

“Sepanjang tempoh PKP ini banyak gerai di pasar awam tidak dibenar beroperasi, kedai tepi jalan dan kedai runcit juga ditutup, malah pelanggan tidak keluar rumah menyebabkan jualan akhbar terjejas.

“Tidakkah pengedar akhbar dan keluarga kami juga turut terjejas dalam tempoh empat minggu PKP sempena COVID-19 ini. Maka kami merayu dan mengharap pihak kerajaan negeri serta Persekutuan bantulah kami,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengedar akhbar masih menjalankan tanggungjawab dan membantu menyebarkan berita berkaitan negeri dan negara dalam bentuk akhbar setiap hari, walaupun majoriti rakyat berada di rumah kerana arahan PKP.

“Kami tidak pernah patah semangat untuk menjalankan tanggungjawab, namun berharap nasib kami diperhatikan dan kebajikan pengedar akhbar turut dipertimbangkan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X