Khamis, 26 March 2020 | 4:56pm
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - NSTP/Baharom Bakar
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - NSTP/Baharom Bakar

Saring suhu badan sebelum dibenarkan buat laporan polis

JERTIH: Orang awam yang ingin membuat laporan polis perlu membuat saringan suhu badan terlebih dahulu menggunakan termometer yang dikhaskan di setiap balai polis di Terengganu bagi mengesan tanda awal COVID-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata sekiranya suhu badan individu itu tinggi dan disyaki demam dia perlu pulang semula ke rumah dan merujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau turut mengulas status 40 pegawai dan anggota polis di Terengganu yang menjalani kuarantin disyaki dijangkiti COVID-19 kelmarin.

Katanya, ketika ini pihaknya masih menunggu keputusan ujian berkenaan untuk mengetahui status mereka sama ada positif atau negatif.

“Saya sempat membuat sidang video dengan salah seorang pegawai yang dikuarantin iaitu Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan.

“Beliau memaklumkan masih berupaya melakukan tugasan harian, memberi arahan dan memantau kerja dilakukan staf dengan menggunakan kemudahan teknologi.

“Tetapi sekiranya hasil ujian menunjukkan ramai pegawai dan anggota disahkan positif, kita sedia menurunkan pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Terengganu untuk membantu Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan sekatan jalan raya di Seberang Jertih, di sini, hari ini.

Tambahnya buat masa ini, kakitangan yang bertugas di IPD Kemaman masih mencukupi dan orang awam masih boleh untuk membuat sebarang laporan polis di sana.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X