Sabtu, 21 March 2020 | 2:53pm
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

HUSM larang pelawat

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, tidak membenarkan pelawat masuk ke wad, kecuali bagi kes kecemasan, kritikal atau yang sangat memerlukan sahaja.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, dalam satu kenyataan berkata bagaimanapun, pihaknya hanya membenarkan seorang peneman sahaja bagi kes-kes tertentu termasuk janji temu klinik untuk pesakit kanak-kanak dan pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan.

“Peraturan ini berkuatkuasa serta-merta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selaras dengan arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini disebabkan peningkatan statistik kes COVID-19 di seluruh negara yang semakin membimbangkan, pihak kami menetapkan peraturan ini sebagai langkah pencegahan untuk meminimumkan risiko jangkitan di dalam fasiliti perawatan,” katanya.

Dr Ahmad Sukari berkata, susulan Perintah Kawalan Pergerakan ini juga, pihaknya terpaksa menjadualkan semula tarikh janji temu klinik bagi pesakit dalam kes-kes tertentu.

“Petugas di klinik akan menghubungi pesakit untuk memaklumkan pertukaran tarikh baharu dan pada masa sama memberi kelonggaran kepada pesakit yang mempunyai janji temu dan kehabisan ubat untuk membuat penyambungan bekalan ubat tanpa perlu datang ke klinik.

“Bagi menyambung bekalan ubat, pesakit hanya perlu menghubungi klinik berdasarkan nombor telefon yang tertera pada kad rawatan atau terus ke talian 09-7673000 dan doktor yang bertugas akan membuat sambungan ubat secara atas talian melalui ‘Prescription Online System’ (POLS),” katanya.

Beliau berharap kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam situasi sekarang bagi memastikan usaha dan saranan pihak kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dapat dipatuhi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X