Selasa, 17 March 2020 | 4:12pm
PENGARAH JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin. - Foto Abdullah Yusof
PENGARAH JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin. - Foto Abdullah Yusof

Perak hanya benarkan nikah di rumah

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menetapkan pelaksanaan majlis akad nikah di Perak dilaksanakan di premis persendirian susulan situasi semasa peningkatan ancaman COVID-19.

Arahan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah itu berkuatkuasa serta merta sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bermula esok hingga 31 Mac ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata majlis pernikahan tidak dibenarkan dibuat di tempat awam seperti masjid, surau dan dewan serta tempat awam lain.

“Majlis akad nikah hendaklah dilaksanakan di premis persendirian dan mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tempoh waktu pelaksanaan majlis hendaklah dipendekkan iaitu tidak melebihi 30 minit,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, majlis pernikahan juga hanya boleh dihadiri seorang jurunikah, wali, dua saksi serta pengantin lelaki dan perempuan.

“Bagaimanapun, majlis perlu dibatalkan sekiranya mana-mana pihak terbabit (individu yang dibenarkan hadir ke majlis itu) disahkan atau disyaki jangkitan COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X