Isnin, 16 March 2020 | 10:06pm
Oka bersama Hanizan menunjukkan lakaran artis pusat latihan golongan sindrom down di Jalan U Thant, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Persatuan Sindrom Dowan Malaysia.
Oka bersama Hanizan menunjukkan lakaran artis pusat latihan golongan sindrom down di Jalan U Thant, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Persatuan Sindrom Dowan Malaysia.

Jepun beri geran bina pusat latihan golongan sindrom down

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat latihan untuk golongan sindrom down belajar berdikari dan menjalani kehidupan normal akan dibina di Jalan U Thant, di sini, menerusi program bantuan untuk badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti sumbangan kerajaan Jepun.

Duta Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka, berkata menerusi Program Bantuan Geran Akar Umbi (GGP) sejak 30 tahun lalu, 148 projek merangkumi penjagaan kesihatan primer, kebajikan awam dan alam sekitar bernilai RM17.4 juta telah dilaksanakan di Malaysia.

Oka berkata, ia termasuk geran bernilai RM371,914 kepada Persatuan Sindrom Down Malaysia untuk membina pusat latihan tambahan kepada bangunan sedia ada yang dijangka siap Ogos ini.

Beliau berkata, program itu bukan sekadar menyalurkan sumbangan wang kerana Kedutaan Jepun akan memantau projek yang dibiayai untuk menilai kadar kejayaannya.

“Ini bukan sekadar menyumbangkan wang. Kita perlu memastikan sumbangan yang berikan kepada setiap penerima dibelanjakan dengan baik.. jadi, kita kerap mengunjungi organisasi penerima untuk melihat sendiri sumbangan yang kami berikan digunakan dengan cara baik.

Ada NGO tertentu yang kami bantu bukan hanya sekali sahaja, tetapi terus memberikan bantuan berdasarkan kepada penggunaan sumbangan kami,” katanya ditemui pada majlis penyerahan bantuan geran itu kepada Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia, Hanizan Hussin, di sini.

GGP adalah program bantuan unik Jepun untuk memenuhi kepelbagaian keperluan komuniti setempat dengan menyokong secara langsung aktiviti pembangunan yang dijalankan NGO dan kerajaan tempatan, berbanding oleh kerajaan pusat. Ia telah memperluas jenis sokongan diberikan, dengan geran itu pada masa ini menyokong inisiatif di 141 negara dan satu rantau.

Mengenai pusat latihan untuk Sindrom Down di Kuala Lumpur, Oka berkata, ia adalah projek perintis dan keberkesanan latihan yang dikendalikan di pusat itu akan dijadikan contoh di bawah program geran di negara-negara membangun lainnya.

Sementara itu, Hanizan menyifatkan projek pusat latihan itu sebagai inisiatif penting bagi membolehkan golongan Sindrom Down memperoleh kemahiran dan menjadi individu yang berdikari demi depan mereka sendiri.

“Daripada projek perintis ini, kami akan membuat pembentangan bagi mendapatkan bantuan daripada kementerian berkaitan untuk mengendalikan pusat itu. Kami akan melatih individu Sindrom Down berusia 19 tahun ke atas, bermula dengan 50 pelatih.

“Ini adalah projek besar dengan kami akan tunjukkan kepada masyarakat dan ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down yang sudah dewasa, bahawa dengan modul yang betul, mereka boleh dilatih untuk berdikari tanpa bergantung kepada ibu bapa mereka di masa depan,” kata Hanizan.

Latihan yang dikendalikan meliputi kemahiran dalam bidang bakeri dan masakan, perniagaan hospitaliti seperti inap desa dan hotel, dobi, penanaman herba dan agroponik.

Persatuan juga akan mengumpulkan dana menerusi penajaan tanggungjawab sosial korporat dan daripada individu untuk membantu menguruskan pusat berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X