Isnin, 16 March 2020 | 5:14pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: Orang ramai kecewa stok topeng mulut habis

KUANTAN: Penambahan kes COVID-19 di negara ini mencetuskan kebimbangan menyebabkan orang ramai mula mendapatkan topeng mulut dan hidung di bandar ini.

Bagaimanapun, orang ramai kecewa kerana stok topeng terbabit habis dan peniaga pula tidak dapat mengesahkan tarikh bekalan itu boleh dibeli.

Tinjauan di beberapa farmasi, pasar raya dan kedai serbaneka di sekitar pusat bandar hari ini mendapati, bekalan topeng terbabit kehabisan stok.

Bukan sahaja topeng, malah cecair pembasmi kuman turut menghadapi situasi sama ketika orang ramai bimbang dengan penambahan kes COVID-19 di seluruh negara.

Berdasarkan tinjauan, harga jualan topeng muka dijual antara RM1.20 hingga RM4.90 bergantung kepada jenis topeng dan kualiti manakala cecair pembasmi kuman pula dijual pada harga RM25 bagi 250 mililiter.

Seorang pekerja di sebuah farmasi, di sini, berkata jualan topeng mulut dan hidung itu mula kehabisan stok sejak minggu lalu.

“Setakat ini, memang di kedai kami tiada jualan topeng mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman disebabkan kehabisan stok.

“Apa yang boleh kami sahkan ialah hanya cecair pembasmi kuman boleh dibeli esok kerana pembekal mengesahkan akan menghantar bekalan itu.

“Bagaimanapun, bagi topeng mulut dan hidung, kami tidak dapat memberi tarikh tepat untuk dijual kepada pengguna,” katanya.

Bagi peniaga restoran, Muhammad Khamis Kamaluddin, 43, dari Indera Mahkota, di sini meminta kerajaan mengatasi segera masalah kehabisan stok topeng dan cecair pembasmi kuman.

“Dalam situasi tidak menentu, kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah kehabisan stok bagi mengelak penambahan kes COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X