Sabtu, 14 March 2020 | 8:03pm
Lambakan ikan pelaling di kawasan Kuala Muda sehingga menyebabkan dijual serendah 50 sen sekilogram. - Foto Nor Farhani Che Ad
Lambakan ikan pelaling di kawasan Kuala Muda sehingga menyebabkan dijual serendah 50 sen sekilogram. - Foto Nor Farhani Che Ad

Klorofil tinggi punca lambakan ikan

ALOR SETAR: Kadar klorofil yang tinggi di kawasan persisiran pantai dan perubahan suhu air menjadi punca berlakunya peningkatan bekalan ikan pelaling di Kedah sejak akhir-akhir ini.

Jabatan Perikanan berkata, imej yang diperoleh pihaknya menunjukkan kadar kepekatan klorofil adalah tinggi sejak Disember lalu dan awal tahun ini di kawasan perairan utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kepekatan klorofil yang tinggi menggalakkan pertumbuhan populasi zooplankton dan seterusnya menyumbang kepada kehadiran makanan yang tinggi bagi ikan pelaling.

“Kepekatan klorofil di permukaan air di utara dan tengah Selat Melaka adalah lebih tinggi pada Januari, Februari dan pada musim Timur Laut (Oktober, November dan Disember).

“Fenomena ini dipercayai disokong kejadian julang air (up-welling) dengan kepekatan klorofil akan mula menurun mulai Mac apabila musim monsun Barat Daya (Jun-Ogos) bermula,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan ikan pelaling dijual serendah 50 sen sekilogram di Kuala Muda dan RM1 sekilogram di Kuala Kedah akibat pendaratan ikan luar biasa sehingga menyebabkan harga jualan menjadi kurang kompetetif.

Menjelaskan lebih lanjut, kajian pihaknya juga mendapati stok ikan kembung yang ditangkap nelayan ketika ini berkait dengan musim bertelur ikan pada Jun dan September lalu, yang mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk matang.

Katanya, kajian akan diteruskan sehingga akhir 2020 dan hasil kajian akan dapat menentukan sumber, biologi, musim pembiakan dan bertelur bagi spesies kembung, termasuk mendapatkan data saiz dan fasa kematangan ikan yang didaratkan.

“Kita juga akan mempergiat usaha menambah stok simpanan ikan segar sejuk melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) terutamanya ketika musim lambakan ikan.

“Ini adalah langkah persiapan bagi menampung bekalan ikan di semenanjung terutama ketika berlaku kekurangan bekalan pada musim tengkujuh,” katanya.

Antara jenis ikan yang terdapat di dalam stok simpanan NEKMAT adalah kembung, selayang, cencaru, selar dan pelaling yang menjadi antara 20 spesies pilihan rakyat Malaysia.

Berita Harian X