Sabtu, 14 March 2020 | 2:45pm

Masa lawatan hospital seluruh Terengganu disingkatkan

KUALA TERENGGANU: Tempoh lawatan pesakit yang ditempatkan di semua hospital di negeri ini dipendekkan termasuk pada hari cuti am bagi mengekang penularan COVID-19, berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata waktu lawatan hari biasa tengah hari dipendekkan bermula dari jam 1 tengah hari hingga jam 2 petang manakala tempoh lawatan petang hanya dari jam 5 petang hingga 7 malam, termasuk cuti mingguan dan am.

“Sebelum penularan COVID-19, waktu lawatan ialah 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari jam 4.30 petang hingga 7 malam, tidak termasuk cuti mingguan dan am,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dilarang melawat manakala bilangan pelawat dihadkan.

Katanya, mereka yang mengalami batuk, demam dan selsema tidak digalak melawat pesakit di semua hospital di negeri ini.

Berita Harian X