Khamis, 5 March 2020 | 2:40pm
Remaja autisme, Muhammad Muslim Ahmad Shukari, (dua dari kiri) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, bersama ibu dan adik beradiknya selepas diumumkan calon istimewa terbaik Kedah bagi SPM 2019 di Dewan Tunku Ibrahim, Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim. Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad
Remaja autisme, Muhammad Muslim Ahmad Shukari, (dua dari kiri) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, bersama ibu dan adik beradiknya selepas diumumkan calon istimewa terbaik Kedah bagi SPM 2019 di Dewan Tunku Ibrahim, Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim. Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad

Remaja autisme cemerlang SPM

SUNGAI PETANI: Seorang remaja autisme membuktikan status orang kurang upaya (OKU) tidak menghalangnya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Muhammad Muslim Ahmad Shukari, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, diumumkan calon istimewa terbaik Kedah selepas mencatat keputusan 3A 2A- 1B+ 1D.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia menanamkan semangat belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa positif dalam apa juga perkara yang dilakukan.

“Status OKU tidak menjadi halangan untuk saya berjaya, sebaliknya ia menjadi pendorong untuk terus maju.

“Saya bersyukur walaupun belajar di sekolah harian biasa, rakan sekelas tidak pernah menyisihkan saya, malah mereka banyak membantu dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan SPM Kedah 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, di sini, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman.

Muslim mendapat A bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Pendidikan Islam dan A- bagi Bahasa Melayu dan Pendidik Seni Visual.

Muslim yang bercita-cita menjadi arkitek, meminati lukisan dan landskap dan berharap dapat menyambung pengajian dalam jurusan seni bina.

Sementara itu, ibu Muslim, Lafdziyah Mohd Marzuki, 47, berkata anaknya itu mula menunjukkan minat belajar sejak di Tingkatan Satu.

“Waktu di sekolah rendah, dia sering gagal dalam pelajar tetapi sejak naik ke sekolah menengah, dia mula menunjukkan minat terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Dia semakin menunjukkan kegigihan belajar dan sering belajar secara berkumpulan dengan rakan selain membuat jadual belajar harian,” katanya.

Berita Harian X