Sabtu, 22 Februari 2020 | 1:56pm
Pengarah Eksekutif TRRC, Dr Hafez Hussain (tengah) memberi taklimat mengenai kemudahan pemulihan pesakit kepada delegasi ISSA
Pengarah Eksekutif TRRC, Dr Hafez Hussain (tengah) memberi taklimat mengenai kemudahan pemulihan pesakit kepada delegasi ISSA

Pusat rehabilitasi PERKESO dilawati delegasi antarabangsa

MELAKA: Seramai 45 anggota delegasi dari Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) meluangkan masa melawat Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Tun Abdul Razak (TRRC) di sini.

Mereka mewakili pelbagai agensi keselamatan sosial dan kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal tenaga buruh dari seluruh dunia yang berada di ibu negara bagi menghadiri Seminar Teknikal dan Pendigitalan ISSA selama dua hari bermula 18 Februari lalu.

Sepanjang lawatan ke TRRC baru-baru ini, delegasi berpeluang melihat dengan dekat pelbagai perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan di pusat berkenaan.

Pengarah Eksekutif TRRC, Dr Hafez Hussain, berkata pusat berkenaan memberi tumpuan membantu memulihkan pekerja yang cedera secara fizikal, rohani dan vokasional agar mereka dapat kembali bekerja serta berintegrasi semula dalam masyarakat.

“Di TRRC, fokus utama kami adalah untuk membantu semua yang layak tanpa mengira latar belakang sosioekonomi dan keadaan kesihatan mereka. Kami memberi fokus kepada kebolehan dan kapasiti kefungsian, bukan kekurangan mereka," katanya.

Ketika lawatan itu, anggota delegasi dibawa melawat semua kemudahan yang terdapat di TRRC, termasuk kemudahan fisioterapi, hidroterapi, terapi pekerjaan, latihan vokasional serta Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Cybernics.

Dr Hafez turut memberi penerangan mengenai budaya aktiviti yang menjadi sebahagian daripada pendekatan bio-psikososial dalam proses rehabilitasi yang mempromosikan penyertaan semua pihak.

"Kami melihat setiap individu secara holistik dan menentukan program rehabilitasi yang lebih komprehensif serta dapat meningkatkan lagi kreativiti dan yang lebih penting mewujudkan solidariti sosial dan pemerkasaan komuniti," katanya.

Sepanjang lawatan, anggota delegasi turut berpeluang menyaksikan persembahan tarian tradisional kuda kepang yang dipersembahkan oleh pesakit yang mengalami masalah tulang belakang serta orang kelainan upaya.

Mereka juga berpeluang mempelajari cara menghasilkan wau yang menjadi sebahagian daripada program rehabilitasi kognitif TRRC.

"Pakar terapi di TRRC menggunakan aktiviti kreatif sebagai medium terapi seperti kraf dan hasil seni. Dalam penghasilan wau, penggunaan kedua-dua tangan dan kedua-dua bahagian otak pesakit mampu merangsang dan memperkasakan minda," kata Dr Hafez.

Menerusi cara terbabit, katanya, pesakit mampu memberi tumpuan, ketekunan dan kemahiran kendiri selain menggalakkan interaksi sesama mereka.

Anggota delegasi juga berpeluang menyaksikan cara menghasilkan batik canting yang bertujuan menambah baik fungsi kognitif otak dan kemahiran tangan.

Selain itu, mereka dapat merasai sendiri keenakan makanan tempatan seperti pulut kuning, nasi lemak, lempeng, roti jala dan pelbagai lagi yang dihasilkan oleh pesakit di situ.

Berita Harian X