Khamis, 20 Februari 2020 | 2:02pm
PENGERUSI Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien melawat ruang pameran selepas melancarkan program Publisiti Awal Rancangan Pemajuan Labuan 2040 di Labuan, semalam.
PENGERUSI Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien melawat ruang pameran selepas melancarkan program Publisiti Awal Rancangan Pemajuan Labuan 2040 di Labuan, semalam.

Labuan sasar menjadi pulau bandar pintar menjelang 2040

LABUAN: Labuan melancarkan program Publisiti Awal Rancangan Pemajuan Labuan 2040 bagi menjadikannya sebagai pulau bandar pintar di Malaysia.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien berkata, program itu adalah publisiti awal dan perbincangan bersama kumpulan berkepentingan yang menjadi proses pertama yang perlu dilaksanakan dalam penyediaan kajian.

Beliau berkata, ianya adalah satu mekanisma bagi mendapatkan maklumbalas serta pandangan dari orang awam dan pihak berkepentingan terhadap Rancangan Pemajuan Labuan 2040 yang bakal disediakan.

“Selain itu, ianya juga adalah untuk memberi pendedahan dan peluang kepada semua pihak berkepentingan terhadap hak dan peranan mereka dalam menentukan arah tuju perancangan.

“Labuan dijangka akan menjadi pulau bandar yang pintar yang mampu menawarkan perkhidmatan bukan sahaja kepada penduduk tempatan bahkan kepada pelabur dan organisasi tempatan dan luar dari wilayah ini.

“Aspek kesaksamaan dalam kemajuan akan terus diberi perhatian kepada semua peringkat dalam komuniti bagi memastikan kekayaan alam semulajadi Labuan dikongsi bersama,” katanya selepas melancarkan program Publisiti Awal Rancangan Pemajuan Labuan 2040 di sini semalam.

Amir Hussien berkata, dari semasa ke semasa, lebih banyak tumpuan dan cadangan memajukan Labuan telah dirancang.

Beliau berkata, penyediaan Rancangan Pemajuan Labuan 2040 akan diselarikan dengan Visi Pelan Induk Labuan 2030 iaitu menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Pulau Bandar yang Pintar dan Mampan.

“Rancangan Pemajuan Labuan yang bakal diadakan kelak dijangka akan mewujudkan kesinambungan pembangunan Labuan sehingga tahun 2040 bagi memastikan Labuan maju membangun secara mampan dan makmur.

“Manakala, visi Perbadanan Labuan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan mampan dan sejahtera, dengan moto Mudah, Cepat dan Mesra dijangka dapat memudahkan semua proses pembangunan fizikal yang akan berlaku di Labuan berjalan lancar.

“Perbadanan Labuan akan sentiasa positif dengan usul dan cadangan yang diutarakan dalam sama-sama memajukan Wilayah Persekutuan Labuan dari pelbagai aspek ekonomi, teknologi, sosial, budaya dan alam sekitar,” katanya.

Berita Harian X