Rabu, 19 Februari 2020 | 3:28pm
Dr Salmee merasmikan projek Telaga Tiub di Kampung Guar Batu Hitam, Kodiang hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Dr Salmee merasmikan projek Telaga Tiub di Kampung Guar Batu Hitam, Kodiang hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Peluang anak tak sah taraf belajar terjamin

KUBANG PASU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tetap akan memberi peluang kepada anak tidak sah taraf belajar di mana-mana sekolah, sementara waris mengurus dan melengkapkan dokumen bagi proses pendaftaran perkahwinan serta sijil kelahiran anak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said, berkata peluang itu akan diberikan supaya anak tidak sah taraf dapat belajar dengan sempurna tanpa rasa tersisih.

“Kita tahu di Kedah banyak kes seperti ini berikutan kita bersempadan dengan negara jiran Thailand. Bagi masalah anak tidak sah taraf, kita tetap akan benarkan mereka belajar, dalam setahun itu kita beri peluang untuk waris mereka mendaftar perkahwinan dan sijil kelahiran anak.

“Maksudnya, ia bukan halangan untuk mereka belajar, Kementerian Pendidikan akan pastikan tidak ada pelajar tercicir.

“Banyak kes ini dapat diselesaikan dan hanya sikit saja yang berlarutan tetapi kita tetap akan beri peluang,” katanya.

Selain itu, Dr Salmee, berkata penganjuran program Ziarah Cakna oleh Kementeri Pendidikan juga dilihat sebagai platform terbaik dalam mengurangkan masalah keciciran yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Katanya, masalah keciciran pelajar bukan saja disebabkan anak tidak sah taraf tapi turut berlaku akibat kemiskinan, kedudukan rumah yang jauh dari sekolah serta penrceraian.

“Apabila pihak sekolah buat ziarah cakna, kita lihat peratus keciciran pelajar tu semakin berkurangan.

Pihak sekolah akan bantu dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga akan cuba bantu kumpul duit untuk pastikan pelajar ini dapat ke sekolah,” katanya.

Terdahulu, Dr Salmee ditemui selepas merasmikan projek Telaga Tiub di Kampung Guar Batu Hitam, Kodiang di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan kelalaian mendaftarkan atau mengesahkan perkahwinan yang dibuat di luar negara, menyebabkan Kedah antara negeri yang mencatatkan jumlah teramai anak tidak sah taraf.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, berkata keadaan itu menyebabkan anak pasangan berkenaan sukar untuk melanjutkan pelajaran ,sekali gus menjadi penyumbang kepada masalah keciciran sekolah.

Berita Harian X