Rabu, 19 Februari 2020 | 1:58pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said beramah mesra dengan penduduk pada majlis merasmikan Projek Telaga Tiub di Kampung Guar Batu Hitam, Kodiang, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said beramah mesra dengan penduduk pada majlis merasmikan Projek Telaga Tiub di Kampung Guar Batu Hitam, Kodiang, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Bekalan air bukit semakin kering

KUBANG PASU: Lebih 100 penduduk di Kampung Guar Batu Hitam dan Kampung Limau Bali, Kodiang, dekat sini, terjejas selepas bekalan air bukit mereka semakin kering akibat kemarau sejak Disember tahun lalu.

Berikutan itu, menjadi rutin harian penduduk setiap pagi untuk pergi mengepam air (menghidupkan enjin) di kawasan tangkungan air di dalam kebun getah yang terletak lebih 200 meter dari rumah mereka.

Penduduk Kampung Guar Batu Hitam, Shafie Majid, 51, berkata sudah melakukan rutin itu sejak tujuh tahun lalu.

“Saya akan berjalan kaki membawa lampu suluh ke lokasi takungan air seawal jam 6 pagi untuk memastikan anak dapat mandi untuk ke sekolah dan pergi bekerja, selepas isteri saya selesai mencuci pakaian serta pinggan mangkuk, barulah saya akan pergi tutup enjin berkenaan.

“Air yang dipam akan masuk ke dalam tangki tetapi ia akan cukup untuk keperluan sehingga tengah malam sahaja.

“Untuk kegunaan masak dan minum, kami akan guna air yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebulan sekali,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan KomunIti Kampung (MPKK) kampung berkenaan, Mohd Sabri Zainol,46, berkata penduduk kampung itu menggunakan bekalan air bukit sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kedudukan kampung yang berada di kaki bukit menyebabkan penduduk sukar mendapat bekalan air bersih dan hanya bergantung kepada air bukit lebih 20 tahun lalu.

“SADA akan hantar air sebulan sekali namun jika ada kenduri dan sebagainya kami akan hubungi SADA untuk mendapat bekalan air yang lebih banyak,” katanya.

Sementara itu, masalah yang dihadapi penduduk kampung itu akan selesai secara berperingkat apabila kerajaan negeri membina telaga tiub untuk kegunaan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said, berkata sebuah telaga tiub sudah siap dibina berhampiran rumah Shafie manakala sebuah lagi dalam proses pembinaan di Kampung Limau Bali yang bersebelahan Kampung Guar Batu Hitam.

“Telaga tiub yang sudah siap ini dibina dengan kedalaman 60 kaki dengan kos pembinaan sebanyak RM13,500.

“Telaga tiub di kampung ini adalah projek perintis kepada lapan lagi projek telaga tiub yang bakal dibina di beberapa buah kampung lain di DUN saya.

“Kos pembinaan setiap telaga akan bergantung kepada kedalaman telaga itu akan dikore. Justeru, saya mengharapkan inisiatif kerajaan ini dapat membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih dengan lebih mudah selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis merasmikan Projek Telaga Tiub di Kampung Guar Batu Hitam, Kodiang di sini, hari ini.

Berita Harian X