Selasa, 18 Februari 2020 | 7:29pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (tengah) bersama Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kanan) melakukan gimik pelancaran ketika majlis pelancaran Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (tengah) bersama Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kanan) melakukan gimik pelancaran ketika majlis pelancaran Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Anggota DBKL diarah pantau Pasar Pudu

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan sudah mengeluarkan arahan kepada anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalankan operasi penguatkuasaan di Pasar Awam Pudu di ibu negara.

Ia susulan DBKL mendapat laporan peniaga di pasar itu tidak menjaga kebersihan, selain dibanjiri warga asing.

“Sebelum awak pergi (wartawan BH membuat tinjauan di pasar itu Sabtu lalu), saya sudah tinjau tempat berkenaan.

“Kita sentiasa mengambil maklum masalah yang timbul, malah, saya sudah arahkan anggota DBKL untuk menjalankan operasi dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040, di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Sabtu lalu, BH melaporkan sayur-sayuran bertaburan, lantai basah, kehadiran tikus dan longgokan sampah antara pandangan menjengkelkan pengunjung Pasar Awam Pudu saban hari terutama pada hujung minggu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang orang ramai terus mengunjungi pasar basah kerana di situ luas, serba lengkap, banyak pilihan dan dibuka hingga jam 2 petang.

Keadaan itu sedikit sebanyak mengiyakan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mengatakan, kebersihan pasar di negara ini hanya berada pada tahap 40 peratus, selain masalah sikap menyumbang permasalahan itu, memerlukan perubahan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bersih.

Berita Harian X